TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes 1MDB RM2.3 bilion: Prosiding ditangguh sementara untuk solat Jumaat

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 26 Dis - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan sementara prosiding keputusan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion selepas lebih tiga jam dapatan dibacakan, pada jam 12.15 tengah hari ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini menghentikan prosiding bagi memberi ruang kepada solat Jumaat.

Beliau memaklumkan mahkamah masih memerlukan kira-kira satu jam lagi untuk menyelesaikan pembacaan baki keputusan.

“Mohon diaturkan supaya tertuduh dibawa semula ke mahkamah ini dan prosiding bersambung pada jam 3 petang,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan pasukan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Datuk Ahmad Akram Gharib bersama Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

Sementara itu, pembelaan Najib Tun Razak diwakili antara lain oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Wan Mohammad Arfan Wan Othman dan Effa Azuin.

Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Kesalahan didakwa berlaku di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan tempoh 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

+ - reset