TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

10 jajahan di Kelantan berisiko banjir hingga 30 Disember

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 26 Dis - Sebanyak 10 jajahan di Kelantan dikenal pasti berisiko dilanda banjir bermula Jumaat hingga 30 Disember ini susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi hebahan ramalan awal banjir memaklumkan, situasi itu dijangka berlaku membabitkan beberapa lembangan sungai utama iaitu Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Lebir, Sungai Galas dan Sungai Nenggiri.

Menurut kenyataan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), hebahan berkenaan dikeluarkan pada jam 12.30 tengah hari Jumaat susulan jangkaan hujan lebat berterusan dari 26 hingga 30 Disember ini.

Jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.

Bagi Tumpat dan Pasir Mas, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Golok dan Sungai Kelantan, manakala Bachok membabitkan lembangan Sungai Semerak dan Sungai Kemasin.

Machang, Kota Bharu dan Tanah Merah turut dikenal pasti berisiko banjir di lembangan Sungai Kelantan, sementara Pasir Puteh melibatkan lembangan Sungai Semerak termasuk Sungai Buaya Ikat.

JPS turut memaklumkan risiko lebih tinggi dijangka di kawasan pedalaman seperti Kuala Krai dan Gua Musang yang membabitkan beberapa lembangan utama termasuk Sungai Lebir, Sungai Galas, Sungai Nenggiri dan Sungai Jelai.

Menurut JPS, ramalan awal ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk di kawasan berisiko membuat persediaan awal, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana memperkukuh tahap kesiapsiagaan.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca, mengikuti amaran banjir terkini serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya pemindahan perlu dilaksanakan.

+ - reset