Berita Berita
Pengurusan 1MDB ikut arahan Jho Low kerana percaya datang daripada Najib – Mahkamah
PUTRAJAYA 26 Dis – Mahkamah Tinggi hari ini mendapati kepimpinan tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bertindak mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, kerana mempercayai setiap arahan itu sebenarnya datang daripada Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, adalah sesuatu yang melangkaui batasan imaginasi untuk mengandaikan pengurusan tertinggi 1MDB akan mempertimbangkan arahan Jho Low melibatkan urusan kewangan berskala besar, kecuali jika mereka benar-benar percaya Jho Low bertindak atas arahan tertuduh.
Atau, katanya, mereka melaksanakan apa jua arahan yang diberikan oleh ahli perniagaan itu dengan kepercayaan tulen bahawa arahan tersebut sebenarnya datang daripada Najib.
Sequerah, yang baru dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, hari ini bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi bagi mendengar perbicaraan kes berkaitan 1MDB.
"Hakikat bahawa Najib dan Jho Low saling mengenali juga bukanlah suatu kebetulan semata-mata. Terdapat bukti hubungan mereka melalui gambar yang diambil ketika percutian," katanya.
Beliau berkata, saksi-saksi pendakwaan memberi keterangan bahawa e-mel, isu yang dibangkitkan dalam perbincangan serta arahan Jho Low menjadi sebahagian penting dalam aliran kerja operasi 1MDB.
Menurutnya, keadaan itu kemudiannya membawa kepada pelaksanaan transaksi utama termasuk usaha sama dengan PetroSaudi, pemerolehan aset tenaga serta pengurusan dana syarikat berkenaan.
Mahkamah kemudiannya ditangguhkan bagi solat Jumaat dan akan bersambung semula pada jam 3 petang.
Sebelum itu, Sequerah memaklumkan bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya satu setengah jam untuk menyelesaikan pembacaan penghakiman menyeluruh.
Najib, 72, didakwa pada 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB. Perbicaraan kes itu bermula pada tahun berikutnya.
Bekas Perdana Menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, beliau dituduh melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Pertuduhan salah guna kuasa difailkan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah sebelum ini mengarahkan Najib membela diri pada 30 Oktober 2024 selepas Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Selain kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022 dan kes 1MDB, Najib turut berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi, namun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu lagi pertuduhan.
Berita berkaitan
December 26, 2025, 5:24 pm
Najib didapati bersalah atas semua 25 pertuduhan membabitkan dana 1MDB RM2.3 bilion
December 26, 2025, 4:56 pm
Najib disabit bersalah guna kedudukan sebagai PM peroleh dana 1MDB RM2.3 bilion
December 26, 2025, 4:02 pm
KPDN Johor siasat pasar raya mini jual minyak masak subsidi melebihi harga kawalan
December 26, 2025, 3:56 pm
Polis buru lelaki tempatan dipercayai dalang pembuatan puluhan bahan letupan di Nilai
December 26, 2025, 3:49 pm
MOTAC, Tourism Malaysia nafi kaitan dengan acara ratu dan jejaka selebriti tular
December 26, 2025, 3:42 pm
10 jajahan di Kelantan berisiko banjir hingga 30 Disember
December 26, 2025, 12:51 pm
Surat derma Arab Najib palsu, Mahkamah Tinggi tolak pembelaan kes 1MDB
December 26, 2025, 12:47 pm
Warga emas, anak lelaki maut terperangkap dalam kebakaran rumah di Sentul
December 26, 2025, 12:44 pm
