Berita Berita
Najib didapati bersalah atas semua 25 pertuduhan membabitkan dana 1MDB RM2.3 bilion
PUTRAJAYA 26 Dis - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 pertuduhan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.
Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Disember 2014.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib, yang mengenakan sut biru, kelihatan tenang sepanjang prosiding. Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, anak-anak perempuan, Nooryana Najwa dan Puteri Norlisa serta anak-anak lelaki, Datuk Mohd Nazifuddin dan Datuk Mohd Nizar.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, dibantu oleh Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dibantu oleh Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.
Bekas Perdana Menteri itu pertama kali didakwa pada 20 September 2018, dan perbicaraan bermula hampir setahun kemudian, pada 28 Ogos 2019, sebelum pihak pendakwa menutup kesnya pada 30 Mei 2024.
Perbicaraan kes berprofil tinggi itu berlangsung selama tujuh tahun, menarik perhatian antarabangsa, melibatkan 50 saksi dan sembilan hari hujahan lisan pada peringkat pendakwaan.
Antara saksi utama bagi pihak pendakwaan ialah bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, dan Pegawai Penyiasat SPRM Superintendan Kanan Nur Aida Ariffin.
Pada 30 Oktober 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie dan memerintahkan Najib untuk mengemukakan pembelaan terhadap semua pertuduhan.
Kes pembelaan didengar dari 2 Disember 2024 hingga 6 Mei 2025 selama 58 hari, dengan 26 saksi dipanggil memberi keterangan.
Saksi utama bagi pihak pembelaan termasuk bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin,Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, adik kepada Sultan Terengganu, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Pendengaran hujah lisan dalam perbicaraan 1MDB berjumlah RM2.3 bilion itu diselesaikan pada 4 November selepas kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan, menamatkan hujah terakhir masing-masing.
Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. – BERNAMA
Berita berkaitan
December 26, 2025, 4:56 pm
Najib disabit bersalah guna kedudukan sebagai PM peroleh dana 1MDB RM2.3 bilion
December 26, 2025, 4:02 pm
KPDN Johor siasat pasar raya mini jual minyak masak subsidi melebihi harga kawalan
December 26, 2025, 3:56 pm
Polis buru lelaki tempatan dipercayai dalang pembuatan puluhan bahan letupan di Nilai
December 26, 2025, 3:49 pm
MOTAC, Tourism Malaysia nafi kaitan dengan acara ratu dan jejaka selebriti tular
December 26, 2025, 3:42 pm
10 jajahan di Kelantan berisiko banjir hingga 30 Disember
December 26, 2025, 2:11 pm
Pengurusan 1MDB ikut arahan Jho Low kerana percaya datang daripada Najib – Mahkamah
December 26, 2025, 12:51 pm
Surat derma Arab Najib palsu, Mahkamah Tinggi tolak pembelaan kes 1MDB
December 26, 2025, 12:47 pm
Warga emas, anak lelaki maut terperangkap dalam kebakaran rumah di Sentul
December 26, 2025, 12:44 pm
