Berita Berita
Surat derma Arab Najib palsu, Mahkamah Tinggi tolak pembelaan kes 1MDB
PUTRAJAYA 26 Dis – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa empat surat derma Arab yang dikemukakan Datuk Seri Najib Razak sebagai asas pembelaan dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah palsu dan tidak boleh dipercayai.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika menyampaikan penghakimannya berkata, bekas Perdana Menteri itu gagal membuat sebarang pengesahan bagi memastikan dana yang diterima benar-benar disumbangkan oleh Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Raja Abdullah.
Tegasnya, surat-surat terbabit juga tidak pernah dikemukakan dalam bentuk asal kepada mahkamah.
Sequerah berkata, Najib hanya bersandarkan kepercayaan kepada kerabat diraja Arab Saudi tanpa bukti kukuh, selain tiada keterangan menunjukkan dana berkenaan sepatutnya disalurkan secara berperingkat.
"Dalam pembelaannya, cara dana itu disalurkan adalah sepenuhnya terpulang kepada Almarhum Raja Abdullah, namun hujahan itu tidak membantu kes pembelaan," katanya.
Menurut hakim, tindakan itu dilihat sebagai satu cubaan tertuduh untuk mengabsahkan dakwaan bahawa dana yang diterima adalah sumbangan derma.
Beliau turut menegaskan tiada sebarang pengesahan dilakukan oleh Najib bagi memastikan dana tersebut benar-benar berasal daripada keluarga Raja Abdullah.
Sequerah menambah, hasil penjejakan aliran wang mendapati dana berkenaan disalurkan melalui beberapa syarikat persendirian pihak ketiga iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore, yang merupakan entiti milik pembiaya dalam buruan, Eric Tan.
Hakim juga menyifatkan sebagai luar biasa apabila tiada sebarang pengakuan bertulis dihantar kepada keluarga diraja Arab Saudi bagi menyatakan penghargaan terhadap sumbangan yang didakwa itu.
"Naratif derma itu juga tidak direkodkan dalam minit Mesyuarat Kabinet. Beliau bertindak secara sengaja menutup mata dan oleh itu dana berkenaan dianggap sangat meragukan," katanya.
Beliau berkata, Najib mempunyai sumber dan keupayaan untuk mengesahkan kesahihan dana berkenaan, sekali gus memutuskan bahawa naratif derma Arab itu tidak berasas dan wang terbabit sebenarnya berpunca daripada 1MDB.
"Mahkamah ini mendapati pembelaan derma dari Arab tidak boleh dipercayai dan gagal menangkis anggapan suapan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM," kata Sequerah.
Ketika laporan ini ditulis, hakim masih meneruskan pembacaan penghakimannya.
Najib, 72, didakwa pada 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB. Perbicaraan kes itu bermula pada 2019.
Beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Pertuduhan salah guna kuasa difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah sebelum ini mengarahkan Najib membela diri pada 30 Oktober 2024 selepas Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Selain kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022 dan kes 1MDB, Najib turut berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi, namun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu lagi pertuduhan.
Berita berkaitan
December 26, 2025, 5:24 pm
Najib didapati bersalah atas semua 25 pertuduhan membabitkan dana 1MDB RM2.3 bilion
December 26, 2025, 4:56 pm
Najib disabit bersalah guna kedudukan sebagai PM peroleh dana 1MDB RM2.3 bilion
December 26, 2025, 4:02 pm
KPDN Johor siasat pasar raya mini jual minyak masak subsidi melebihi harga kawalan
December 26, 2025, 3:56 pm
Polis buru lelaki tempatan dipercayai dalang pembuatan puluhan bahan letupan di Nilai
December 26, 2025, 3:49 pm
MOTAC, Tourism Malaysia nafi kaitan dengan acara ratu dan jejaka selebriti tular
December 26, 2025, 3:42 pm
10 jajahan di Kelantan berisiko banjir hingga 30 Disember
December 26, 2025, 2:11 pm
Pengurusan 1MDB ikut arahan Jho Low kerana percaya datang daripada Najib – Mahkamah
December 26, 2025, 12:47 pm
Warga emas, anak lelaki maut terperangkap dalam kebakaran rumah di Sentul
December 26, 2025, 12:44 pm
