TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tukang rumah maut motosikal langgar lori buat pusingan U di Jalan Lintas

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 31 Dis – Seorang tukang rumah maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori yang membuat pusingan U di Jalan Lintas berhampiran Metro Town, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.59 malam itu, mangsa berusia lingkungan 50-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Penampang selepas selesai menjalankan kerja pembinaan rumah di Kota Belud bersama anak dan menantunya.

Kejadian itu turut menyayat hati apabila barangan keperluan termasuk sayur-sayuran yang dibeli untuk keluarga dilaporkan bertaburan di atas jalan raya susulan pelanggaran tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa yang berada di lorong kiri melanggar bahagian belakang lori berkenaan yang dikatakan sedang membuat pusingan U.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

+ - reset