Berita Berita
Tiada unsur pengkhianatan Bersatu dalam krisis MB Perlis, kata pemimpin Pas
KUALA LUMPUR 31 Dis – Seorang pemimpin Pas menafikan dakwaan bahawa Bersatu mengkhianati parti itu susulan pertukaran jawatan Menteri Besar Perlis yang mencetuskan krisis politik di negeri berkenaan.
Ketua Majlis Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil berkata, kekeliruan dan polemik yang berlaku bukan berpunca daripada rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) itu.
“Saya tetap dengan pendirian bahawa tiada unsur pengkhianatan dalam polemik yang sedang berlaku melibatkan kepimpinan Pas Perlis, termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digantung keahlian.
“Begitu juga dengan Bersatu yang pada pandangan saya tidak terlibat secara langsung dalam krisis ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Ahmad Adnan, kegagalan pihak tertentu menjalankan peranan serta kurangnya usaha berinteraksi dengan Istana Perlis menyebabkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail terpaksa menggunakan budi bicara baginda bagi menamatkan kemelut berkenaan.
Katanya, situasi itu tidak akan berlaku sekiranya mereka yang dipertanggungjawabkan melaksanakan tugas dengan sewajarnya sejak awal.
Beliau turut mendakwa telah dimaklumkan bahawa Raja Perlis sentiasa terbuka untuk jawatan Menteri Besar disandang oleh wakil Pas, namun terdapat pihak yang gagal memainkan peranan secara berkesan.
“Justeru, adalah tidak adil untuk menyalahkan Bersatu dalam isu ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Adnan berkata, kerajaan negeri Perlis seharusnya terus ditadbir oleh PN seperti sebelum ini, dengan komposisi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) melibatkan wakil Pas dan Bersatu, manakala perubahan hanya melibatkan jawatan Menteri Besar.
Beliau turut berpandangan bahawa pilihan raya kecil perlu dielakkan kerana PN berdepan risiko untuk kalah.
“Walaupun Pas kuat dari segi jentera dan sokongan akar umbi, parti ini masih kekurangan beberapa kekuatan penting termasuk keyakinan segmen tertentu masyarakat dan ihsan politik.
“Kemenangan Pas sebelum ini banyak dibantu faktor kualiti calon, kelemahan pihak lawan serta polemik isu semasa,” katanya sambil menegaskan kepentingan Pas terus bekerjasama dengan Bersatu dalam PN.
Hubungan Pas dan Bersatu dilihat semakin tegang susulan krisis di Perlis, yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN semalam.
Peletakan jawatan bekas Perdana Menteri itu turut disusuli pengunduran Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta beberapa Pengerusi PN peringkat negeri dari Bersatu.
Berita berkaitan
December 31, 2025, 2:43 pm
Guru mengaku bersalah lakukan amang seksual terhadap dua murid
December 31, 2025, 2:30 pm
Tukang rumah maut motosikal langgar lori buat pusingan U di Jalan Lintas
December 31, 2025, 2:01 pm
Agong terima menghadap Ketua Polis Negara, dibentang taklimat keselamatan
December 31, 2025, 1:33 pm
Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika mengecat rumah
December 31, 2025, 1:26 pm
DBKL giat kerja pembersihan, persiapan sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 dan Festival ‘I LITE U’
December 31, 2025, 1:12 pm
Kekeliruan cuti Thaipusam, Hari Wilayah Persekutuan terjawab
December 31, 2025, 1:08 pm
Mohd Puad dakwa Gobind tersilap tafsir reformasi berkait kes 1MDB
December 31, 2025, 1:01 pm
Tahun baharu 2026 lembaran penting perkukuh semangat Malaysia MADANI – Ramanan
December 31, 2025, 12:56 pm
