TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Akmal pertahan hak pemuda UMNO suarakan pandangan hala tuju parti

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Dis – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempertahankan pendiriannya bahawa kepimpinan sayap parti itu berhak menyuarakan pandangan serta terlibat dalam menentukan hala tuju UMNO.

Menerusi hantaran terbaharu di media sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu turut membidas kenyataan Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang mengkritik tindakannya berhubung isu berkenaan sebelum ini.

Menurut Dr Muhamad Akmal, beliau mempersoalkan sama ada hala tuju parti dan kebebasan bersuara merupakan hak mutlak presiden semata-mata.

“Adakah hala tuju parti adalah hak mutlak presiden parti? Adakah menyuarakan pandangan juga dianggap hak mutlak presiden?

“Lakukan mengikut struktur dan proses dalaman? Berdasarkan apa? Kapasiti kepentingan individu?” katanya menerusi hantaran berkenaan pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa penglibatannya dalam politik dan UMNO bukan sekadar untuk menurut arahan tanpa soal atau menjadi ‘yes boss’, sebaliknya berjuang atas dasar agama, rakyat dan negara.

“Saya dan ramai lagi yang menyertai politik serta UMNO bukan untuk mengikut telunjuk semata-mata atau demi kepentingan peribadi,” katanya.

Terdahulu, Nurulhidayah memberi respons susulan desakan Dr Muhamad Akmal supaya UMNO menilai semula kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan serta menghidupkan semula Muafakat Nasional.

Walaupun mengakui kelantangan Dr Muhamad Akmal selari dengan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda UMNO, Nurulhidayah mengingatkan bahawa parti itu bukan milik mana-mana individu atau sayap tertentu.

Pada Ahad lalu, Dr Muhamad Akmal dilaporkan mengumumkan Pemuda UMNO akan menganjurkan Konvensyen Khas pada Sabtu ini bagi membincangkan hala tuju parti, termasuk keputusan sama ada UMNO perlu kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Nurulhidayah turut menegaskan bahawa dalam sebuah organisasi besar seperti UMNO, hala tuju parti tidak boleh ditentukan oleh satu sayap sahaja, apatah lagi melalui tekanan awam yang boleh ditafsirkan sebagai ugutan politik dalaman.

+ - reset