TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelantikan PAT ditangguh, siasatan terhadap Muhammad Hafizuddeain diteruskan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Dis – Pelaksanaan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 berkaitan pelantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan bagi memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Muhammad Hafizuddeain telah diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan yang dilaporkan melibatkan dirinya.

“Bagi memastikan kelangsungan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, pemangkuan tugas Panglima Angkatan Tentera akan dilaksanakan oleh Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain selaku Panglima Tentera Laut.

“Pemangkuan tugas ini selaras dengan pengumuman yang telah dibuat pada 27 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa semua langkah yang diambil adalah bagi menjunjung kedaulatan undang-undang serta memelihara integriti Angkatan Tentera Malaysia, di samping memastikan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara terus dilaksanakan secara berkesan.

Pada 27 Disember lalu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata Muhammad Hafizuddeain akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan.

Langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.

Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat Malaysia sejak 2023.

Difahamkan, siasatan tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

+ - reset