Berita Berita
Pencarum KWSP boleh keluarkan simpanan bagi tunai haji sehingga RM10,000
KUALA LUMPUR 31 Dis - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelaksanaan beberapa penambahbaikan dasar serta pengenalan produk baharu yang berkuat kuasa mulai esok, sebagai usaha memperkukuh simpanan persaraan, meluaskan perlindungan sosial dan meningkatkan pengalaman keseluruhan ahli.
Dalam satu kenyataan, KWSP memaklumkan inisiatif berkenaan merangkumi langkah-langkah yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025, selain mencerminkan komitmen berterusan institusi itu untuk menyesuaikan perkhidmatan dengan keperluan ahli yang sentiasa berubah, di samping menyokong kesejahteraan serta daya tahan kewangan jangka panjang.
Antara penambahbaikan utama ialah peningkatan had Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 daripada Akaun Sejahtera, bagi membantu ahli yang menerima tawaran menunaikan ibadah haji.
"Keperluan untuk mengesahkan baki dalam akaun simpanan Tabung Haji ahli bagi menentukan amaun kelayakan pengeluaran akan dimansuhkan, sekali gus mempermudah proses permohonan dan membolehkan ahli membuat perancangan haji dengan lebih baik," menurut kenyataan itu.
Selain itu, KWSP memperkenalkan i-Saraan Plus, iaitu kemudahan caruman sukarela khusus untuk pemandu e-panggilan dan p-panggilan dengan insentif padanan kerajaan yang lebih tinggi sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had seumur hidup RM6,000.
Menurut KWSP, pemandu e-panggilan dan p-panggilan yang layak akan didaftarkan sebagai ahli KWSP menerusi penyedia platform yang mengambil bahagian, yang turut membantu melaksanakan potongan caruman berdasarkan kadar ditetapkan sendiri oleh pemandu.
Dalam masa sama, umur kelayakan i-Suri dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun selaras dengan umur persaraan minimum negara, manakala insentif padanan kerajaan diteruskan pada kadar 50 peratus daripada caruman tahunan, tertakluk kepada had RM300 setahun dan RM3,000 seumur hidup.
KWSP turut memaklumkan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) akan berkuat kuasa mulai esok, dengan tiga tahap simpanan diperkenalkan sebagai panduan perancangan persaraan, iaitu Simpanan Asas sebanyak RM390,000, Simpanan Mencukupi RM650,000 dan Simpanan Dipertingkatkan RM1.3 juta.
Seiring tahap Simpanan Dipertingkatkan, dasar Pengeluaran Melebihi RM1 juta akan ditambah baik bagi membolehkan ahli berumur bawah 55 tahun mengurus lebihan simpanan mereka, dengan pelaksanaan secara berperingkat melalui kenaikan had RM100,000 setahun sepanjang tempoh tiga tahun bermula RM1.1 juta pada 2026.
Selain itu, kelayakan Skim Pelaburan Ahli (SPA) turut diselaraskan berdasarkan tahap Simpanan Asas menerusi pelaksanaan berperingkat kuantum simpanan minimum, bagi memastikan lebihan simpanan yang dilaburkan tidak menjejaskan keperluan asas persaraan ahli.
Dalam usaha menggalakkan simpanan sukarela, KWSP turut memperkenalkan penjenamaan baharu iaitu i-Simpan bagi Caruman Pilihan Sendiri dan i-Topup bagi Caruman Melebihi Kadar Berkanun, sekali gus melengkapkan kemudahan sedia ada seperti i-Saraan, i-Sayang dan i-Suri.
Maklumat lanjut berhubung inisiatif berkenaan boleh dirujuk menerusi soalan lazim yang disediakan di laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my.
Berita berkaitan
December 31, 2025, 5:20 pm
Anthony Loke gesa politik matang, fokus selesaikan masalah rakyat
December 31, 2025, 5:13 pm
Azhan Md Othman dilantik Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa esok
December 31, 2025, 5:08 pm
Perlis isytihar esok cuti peristiwa sempena karnival tahun baharu 2026
December 31, 2025, 5:01 pm
Akmal pertahan hak pemuda UMNO suarakan pandangan hala tuju parti
December 31, 2025, 4:54 pm
Pelantikan PAT ditangguh, siasatan terhadap Muhammad Hafizuddeain diteruskan
December 31, 2025, 4:38 pm
Video remaja dibuli beramai-ramai di taman permainan tular, polis belum terima laporan
December 31, 2025, 2:43 pm
Guru mengaku bersalah lakukan amang seksual terhadap dua murid
December 31, 2025, 2:30 pm
Tukang rumah maut motosikal langgar lori buat pusingan U di Jalan Lintas
December 31, 2025, 2:01 pm
