TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anthony Loke gesa politik matang, fokus selesaikan masalah rakyat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Dis – Malaysia memerlukan pendekatan politik yang lebih bertanggungjawab dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat, bukannya menyemarakkan perpecahan demi kepentingan peribadi, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Dalam perutusan Tahun Baharu 2026, Loke berkata negara tidak seharusnya kembali kepada amalan politik lama yang menghakis kepercayaan rakyat dan menghalang kemajuan negara, sambil menegaskan bahawa politik perlu berfungsi untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, bukan mencetuskan permusuhan dan perpecahan.

Beliau berkata, ramai rakyat Malaysia masih berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat, manakala sektor perniagaan turut berhadapan kos operasi yang lebih tinggi, isu-isu yang kekal menjadi keutamaan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan akan terus berusaha mengurangkan tekanan berkenaan melalui dasar praktikal serta pelaksanaan yang berkesan.

“Sebagai anggota pentadbiran Persekutuan, tanggungjawab kami jelas.

“Kami mesti berkhidmat dengan integriti, membuat keputusan demi kepentingan awam dan memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat serta persekitaran perniagaan yang mampan,” katanya sambil menegaskan bahawa amanah awam perlu dipelihara setiap hari.

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata DAP kekal komited kepada prinsip demokrasi, keadilan dan keterangkuman bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk berjaya serta menikmati manfaat pembangunan secara bersama.

Beliau menambah, perbezaan pandangan adalah lumrah dalam demokrasi, namun ia tidak seharusnya menghalang kerjasama demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kemajuan tidak dibina melalui retorik politik semata-mata. Ia mesti berasaskan integriti, kebertanggungjawaban dan hasil nyata yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.

Mengakhiri perutusan itu, Loke menyeru rakyat Malaysia memperbaharui tekad pada tahun baharu dengan menjadikan 2026 sebagai tahun pembaharuan lebih berani dan usaha berterusan untuk memajukan keadilan, kebebasan serta kemajuan untuk semua.

Beliau turut menyatakan harapan agar tahun baharu membawa keyakinan dan optimisme baharu dalam usaha membina Malaysia yang lebih baik.

+ - reset