Berita Berita
Speaker tarik balik pemakluman PRK tiga kerusi di Perlis, kekal kosong hingga PRU akan datang
KANGAR 31 Dis – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis memutuskan untuk menarik semula pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung permohonan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi tiga kerusi yang sebelum ini diisytiharkan kosong.
Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan berkata, meskipun PRK tidak akan diadakan, kerusi Chuping, Guar Sanji dan Bintong akan kekal dibiar kosong sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Keputusan dibuat selepas mengambil kira perkembangan mutakhir termasuk pendirian PAS selaku parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang memberi jaminan akan terus komited mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri Perlis," katanya.
Sebelum ini, Rus'sele dilaporkan telah menghantar notis pemakluman kepada SPR bagi memaklumkan bahawa tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) tidak lagi layak menjadi anggota DUN mengikut Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Notis sama turut menyatakan keperluan mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi kekosongan luar jangka selaras dengan Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Bagaimanapun, Rus'sele berkata, selepas PAS mengeluarkan kenyataan media rasmi semalam yang memberi jaminan untuk terus mendukung kerajaan negeri Perlis selaras mandat rakyat pada PRU15, kedudukan majoriti ADUN dilihat tidak lagi terjejas.
"Kenyataan Menteri Besar Perlis yang menegaskan komitmen meneruskan agenda perpaduan PN yang ketika ini masih memiliki majoriti besar iaitu 11 daripada 15 kerusi DUN turut diambil kira dalam pertimbangan semula itu.
"Sehubungan itu, saya mendapati tiada lagi keperluan untuk diadakan pilihan raya semula bagi tiga kekosongan luar jangka berkenaan," katanya.
Menurut beliau, penarikan balik pemakluman berkaitan keperluan PRK itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada SPR Perlis semalam, namun status kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi terbabit kekal berkuat kuasa seperti dinyatakan dalam surat bertarikh 29 Disember lalu.
"Keputusan terbaharu itu juga sebagai menjunjung titah Raja Perlis agar semua ADUN PN kembali bersatu dan bekerjasama demi kepentingan negeri serta rakyat Perlis," katanya.
Berita berkaitan
January 1, 2026, 2:01 pm
Ahli Pas diminta bertenang, beri kepercayaan kepada kepimpinan
January 1, 2026, 1:57 pm
Anggota tentera cedera latihan payung terjun alami retakan tulang leher, bukan patah rusuk
January 1, 2026, 1:52 pm
1,206 saman dikeluarkan sempena ambang tahun baharu 2026 di Selangor
January 1, 2026, 12:24 pm
Berjaya Assets umum pelantikan menantu Vincent Tan sebagai CEO baharu berkuat kuasa hari ini
January 1, 2026, 12:03 pm
Ada kemungkinan besar Hadi Awang dilantik Pengerusi PN - Kamaruddin
December 31, 2025, 11:07 pm
Noh Omar dedah punca sebenar Muhyiddin lepas jawatan Pengerusi PN
December 31, 2025, 10:19 pm
Lelaki ditemui mati dengan 12 kesan tikaman di Pangsapuri Damai Ria, dua rakan serumah ditahan
December 31, 2025, 6:36 pm
