Berita Berita
Ada kemungkinan besar Hadi Awang dilantik Pengerusi PN - Kamaruddin
KOTA BHARU 1 Jan – BERSATU Kelantan melihat kemungkinan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, perkara itu mengambil kira kedudukan PAS dan BERSATU sebagai dua parti terbesar dalam gabungan berkenaan.
Beliau berkata, sebelum ini Muhyiddin pernah menawarkan jawatan Pengerusi PN kepada Abdul Hadi, namun tawaran tersebut ditolak oleh Ahli Parlimen Marang itu.
"Memandangkan dalam PN hanya mempunyai dua parti besar iaitu BERSATU dan PAS berbanding parti lain, maka logiknya Pengerusi PN nanti adalah dari PAS.
"Mengikut perlembagaan PN, mereka yang mengetuai PN adalah ketua parti masing-masing dan jika PAS yang mengetuai PN nanti, sudah tentulah Tan Sri Abdul Hadi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelancong di pintu masuk sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, hari ini.
Sebelum ini, PAS memberi bayangan bahawa pemimpin parti itu yang bakal menerajui PN tidak semestinya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sebaliknya, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pemimpin PAS yang akan diangkat sebagai Pengerusi PN adalah individu yang diyakini mampu menggembleng kekuatan parti-parti dalam perikatan tersebut.
Mengulas lanjut, Datuk Kamaruddin berkata pelantikan Pengerusi PN dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas perbincangan mencapai kata sepakat.
"Untuk pelantikan Pengerusi PN, semua ketua parti dalam PN akan berbincang bagi mencapai kata sepakat berkaitan lantikan baharu.
"Kami di BERSATU tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pengerusi PN yang dilantik nanti daripada PAS," katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti itu akan mengemukakan beberapa nama untuk dipertimbangkan sebagai Pengerusi PN yang baharu bagi menggantikan Muhyiddin.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN dalam masa terdekat.
Berita berkaitan
January 1, 2026, 2:01 pm
Ahli Pas diminta bertenang, beri kepercayaan kepada kepimpinan
January 1, 2026, 1:57 pm
Anggota tentera cedera latihan payung terjun alami retakan tulang leher, bukan patah rusuk
January 1, 2026, 1:52 pm
1,206 saman dikeluarkan sempena ambang tahun baharu 2026 di Selangor
January 1, 2026, 12:24 pm
Berjaya Assets umum pelantikan menantu Vincent Tan sebagai CEO baharu berkuat kuasa hari ini
December 31, 2025, 11:07 pm
Noh Omar dedah punca sebenar Muhyiddin lepas jawatan Pengerusi PN
December 31, 2025, 10:19 pm
Lelaki ditemui mati dengan 12 kesan tikaman di Pangsapuri Damai Ria, dua rakan serumah ditahan
December 31, 2025, 8:25 pm
Speaker tarik balik pemakluman PRK tiga kerusi di Perlis, kekal kosong hingga PRU akan datang
December 31, 2025, 6:36 pm
