Berita Berita
Keluarga dan masyarakat jadi keutamaan, Shahul Dawood sambut 2026 dengan visi, nilai dan keberanian menuju perubahan
KUALA LUMPUR 1 Jan – Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Green Packet Berhad, Datuk Wira Shahul Dawood menyifatkan tahun yang berakhir sebagai fasa penting yang sarat dengan pengajaran bermakna, bukan sahaja dalam kerjaya, malah dari sudut kehidupan peribadi, keluarga dan khidmat kepada masyarakat.
Beliau berkata, tahun lalu memberinya kesedaran mendalam mengenai nilai masa, kesihatan dan pertumbuhan dalaman, sekali gus mendorongnya untuk menjalani kehidupan dengan lebih seimbang, berfokus dan bermakna.
Pendekatan lebih berhati-hati dalam mengurus kehidupan harian, menurutnya, telah membawa kejelasan serta kesejahteraan yang tidak ternilai.
Dari sudut kerjaya, Shahul menyifatkan tempoh berkenaan sebagai tahun penentu apabila beliau diberi kepercayaan memainkan peranan dalam pembentukan ASEAN Year of Skills 2025, satu inisiatif serantau yang bertujuan memperkasa bakat dan peluang kemahiran di rantau ASEAN.
Beliau turut menamatkan satu episod penting sepanjang lima tahun bersama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), yang disifatkannya sebagai tempoh penuh transformasi dan cabaran.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya dari April 2020 hingga April 2025, aset di bawah pengurusan HRD Corp meningkat lebih dua kali ganda melepasi RM4 bilion pada 2024, manakala kadar penggunaan levi mencatat paras tertinggi iaitu 98 peratus.
Pencapaian itu, katanya, terhasil hasil usaha kolektif dalam memperkukuh tadbir urus, memulihkan kepercayaan serta memastikan impak berskala besar kepada pemegang taruh.
Kini, Shahul memulakan lembaran baharu bersama Green Packet Berhad, satu cabaran yang disifatkannya sebagai menyuntik semula semangat dan tujuan dalam meneruskan khidmat kepimpinan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keluarga kekal sebagai tunjang kekuatannya, khususnya ketika berdepan ujian besar melibatkan kesihatan anaknya.
Pengalaman tersebut disifatkan sebagai detik paling mencabar namun mengukuhkan lagi keimanan, kesabaran dan kasih sayang sekeluarga.
Beliau melahirkan rasa syukur atas pemulihan sepenuhnya anaknya serta kekuatan yang dikurniakan kepada keluarganya sepanjang tempoh sukar itu.
Pada peringkat komuniti pula, Shahul terus menyatakan komitmen menyokong usaha memperkasa masyarakat, khususnya golongan belia.
Antara detik paling bermakna bagi beliau ialah penganjuran S.I.R.A.T Youth Summit, yang menghimpunkan ribuan anak muda dari seluruh negara dalam usaha mencari tujuan, pembangunan diri dan impak sosial.
Beliau menyifatkan semangat dan idealisme generasi muda sebagai sumber inspirasi utama untuk terus membina platform bermakna pada masa hadapan.
Mengakhiri refleksinya, Shahul merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dan sahabat yang sentiasa memberi sokongan moral sepanjang perjalanan hidup dan kerjayanya.
Menjelang tahun baharu, beliau berharap agar semua pihak dapat melangkah ke hadapan dengan tujuan yang jelas, kepimpinan berteraskan ihsan serta menghargai insan tersayang.
Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu dengan doa agar tahun mendatang membawa keberkatan, kesihatan dan kehidupan yang lebih bermakna kepada semua.
Berita berkaitan
March 21, 2026, 11:58 am
Lelaki maut, lima cedera selepas Myvi terbabas elak anjing di Alor Gajah
March 21, 2026, 10:20 am
Niat beraya di Pulau Tioman tidak kesampaian, tiga beranak maut motosikal terbabas
March 21, 2026, 10:12 am
Wanita ditemui maut dengan kesan tikaman dalam bilik tidur di Butterworth
March 21, 2026, 9:24 am
Agong titah anasir ancam perpaduan dibanteras tegas
March 21, 2026, 7:58 am
Rumah di Seksyen 9, Shah Alam dipecah masuk, tiga suspek diburu
March 21, 2026, 7:39 am
JPJ kesan 2,384 kesalahan guna dron dalam Ops HRA
March 20, 2026, 6:32 pm
Sambut Aidilfitri secara sederhana, elak pembaziran
March 20, 2026, 4:04 pm
Rakyat diingat elak pergaduhan kaum, jaga keharmonian negara
March 20, 2026, 2:51 pm
MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir di empat negeri
March 20, 2026, 2:45 pm
