TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahli Pas diminta bertenang, beri kepercayaan kepada kepimpinan

By
|
Kongsi
image

KANGAR 1 Jan – Semua ahli Pas diminta supaya bertenang dan memberikan kepercayaan penuh kepada kepimpinan parti dalam menangani segala permasalahan yang berlaku ketika ini.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali berkata, ahli parti di semua peringkat perlu mematuhi arahan Pas Pusat serta mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Saya tegaskan sekali lagi, sebagai ahli Pas, berikan kepercayaan (tsiqah) kepada kepimpinan kita dan serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk menangani permasalahan yang berlaku,” katanya hari ini.

Menurut beliau, satu kenyataan telah dikeluarkan sebelum ini yang mengarahkan semua ahli, khususnya di peringkat pimpinan, supaya tidak membuat sebarang kenyataan secara bersendirian tanpa merujuk kepadanya atau Pejabat Agung Pas.

“Hendaklah rujuk dahulu kepada saya sebelum membuat sebarang kenyataan, atau rujuk kepada Pejabat Agung. Malangnya, ada pihak yang tidak mematuhi arahan tersebut.

“Sebagai contoh, kenyataan yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Perlis dibuat tanpa pengetahuan dan rujukan kepada saya. Saya menganggap perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil dilaporkan menyatakan bahawa punca utama kemelut politik di negeri itu adalah kegagalan pihak tertentu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Beliau juga menegaskan tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepimpinan Pas Perlis, termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digantung keahlian, serta menafikan penglibatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kemelut berkenaan.

Mengulas tuduhan bahawa pimpinan Pas Pusat kononnya menyembunyikan fakta, Ahmad Ali menyifatkan dakwaan tersebut sebagai berniat jahat.

“Ada pihak mendakwa pimpinan Pas Pusat menyembunyikan fakta sehingga keputusan yang dibuat oleh Tuan Guru Presiden adalah tidak betul.

“Itu satu tuduhan berniat jahat. Kita menaruh kepercayaan kepada pimpinan dan saya yakin dakwaan sedemikian memerlukan asas, dalil serta hujah yang kukuh, namun setakat ini tiada hujah dikemukakan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa terdapat perbezaan jelas antara tidak bersetuju dengan pandangan kepimpinan dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.

“Kita boleh tidak bersetuju dengan pandangan pimpinan, tetapi jangan sampai ke peringkat hilang kepercayaan.

“Ada beza antara tidak bersetuju dan hilang kepercayaan kerana dalam Islam, syarat utama kepimpinan ialah meletakkan kepercayaan kepada mereka,” katanya.

+ - reset