TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Berjaya Assets umum pelantikan menantu Vincent Tan sebagai CEO baharu berkuat kuasa hari ini

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 1 Jan – Berjaya Assets Bhd mengumumkan pelantikan Tan Tee Ming sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu, berkuat kuasa 1 Januari 2026, selaras dengan langkah penstrukturan kepimpinan kumpulan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Berjaya Assets memaklumkan Tee Ming, 49, merupakan menantu kepada pemegang saham utama syarikat, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun. Beliau turut mempunyai kepentingan tidak langsung sebanyak 1.09 juta saham biasa dalam Berjaya Assets dan merupakan abang ipar kepada Pengarah Eksekutif syarikat itu, Chryseis Tan Sheik Ling.

Tee Ming memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan Perniagaan dari King’s College London. Beliau mempunyai lebih 16 tahun pengalaman dalam bidang pengurusan kekayaan individu bernilai tinggi, termasuk pernah memegang pelbagai jawatan di beberapa bank swasta di Malaysia dan Singapura.

Menurut makluman itu, Tee Ming dilantik sebagai Pengurus Besar Kanan bahagian jualan dan pemasaran hartanah Berjaya Land Bhd pada 18 Mac 2017 sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Berjaya Land pada 1 April 2022.

Beliau dijadual meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Berjaya Land pada atau sebelum 31 Disember 2025 bagi memberi laluan kepada peranan baharunya di Berjaya Assets.

Pada penutupan dagangan jam 5 petang semalam, saham Berjaya Assets ditutup tidak berubah pada 30 sen, dengan sejumlah 161,500 saham diniagakan dan permodalan pasaran bernilai RM767.48 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, Berjaya Corporation Bhd menerusi makluman berasingan kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa Pengarah Eksekutifnya, Norlela Baharudin, 62, telah meletak jawatan hari ini bagi mengejar kepentingan peribadi.

 

+ - reset