TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki ditemui mati dengan 12 kesan tikaman di Pangsapuri Damai Ria, dua rakan serumah ditahan

By
|
Kongsi
image

 

NILAI 31 Dis – Misteri penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tikaman di sebuah unit Pangsapuri Damai Ria, Mantin di sini, membawa kepada penahanan dua individu yang dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan mangsa.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian lelaki berusia lingkungan 30-an itu kira-kira jam 11 pagi pada Selasa.

“Siasatan awal di lokasi mendapati, mangsa mengalami 12 tikaman termasuk di belakang kepala, dada dan leher.

“Justeru, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melibatkan kes bunuh,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 30-an yang juga merupakan rakan serumah mangsa pada jam 5.17 petang, hari kejadian.

Ujarnya, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula Rabu hingga 6 Januari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Jelasnya, pemeriksaan forensik ke atas si mati telah dijalankan dan siasatan kini diteruskan secara menyeluruh dari pelbagai sudut termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keterangan saksi, analisis forensik serta siasatan teknikal.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan penglibatan individu lain dan siasatan masih berjalan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai atau balai polis berhampiran.

+ - reset