TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peguam ditahan disyaki bersubahat seludup dadah masuk ke Penjara Marang

By
|
Kongsi
image

 

KUALA TERENGGANU 1 Jan – Taktik menyeludup dadah ke dalam penjara terbongkar apabila seorang banduan dikesan membawa bahan terlarang dalam tubuh badannya, sekali gus membawa kepada penahanan seorang peguam lelaki yang disyaki bersubahat dalam kegiatan tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kes itu terbongkar hasil pemeriksaan terhadap banduan berkenaan yang baru selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 23 Disember lalu.

Menurutnya, pemeriksaan awal menggunakan mesin pengimbas oleh pegawai kanan Penjara Marang kira-kira jam 5 petang mendapati terdapat objek asing mencurigakan di dalam tubuh badan banduan terbabit.

"Banduan terbabit telah diasingkan dan diletakkan di bawah pemantauan rapi di klinik Penjara Marang sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang pada keesokan harinya bagi pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa objek asing di dalam tubuh badan banduan tersebut dan disyaki dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, Khamis.

Mohd Khairi berkata, pada hari sama banduan itu membuang air besar dan mengeluarkan sebanyak 12 ketulan yang disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan ganja.

"Pada 25 Disember pula, banduan berkenaan sekali lagi mengeluarkan 14 ketulan disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan Erimin 5.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 123 gram pil yaba, 21 gram ganja dan 13 gram Erimin 5 dengan nilai rampasan dianggarkan RM16,000, yang boleh digunakan oleh kira-kira 800 orang penagih," katanya.

Susulan kejadian itu, pihak penjara membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali," jelas beliau.

Menurut Mohd Khairi, hasil risikan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu membawa kepada penahanan seorang peguam berusia 32 tahun bagi membantu siasatan, dan ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

"Suspek telah direman selama enam hari bermula 30 Disember 2025 hingga 4 Januari depan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 107(c) dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat," katanya.

Dalam perkembangan sama, polis turut meminta kerjasama orang awam untuk mengesan seorang wanita bernama Nurul Norasikin Aldin, 30, yang beralamat di A-808, Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus bagi membantu siasatan.

"Polis sedang giat mengesan Nurul Norasikin bagi membantu melengkapkan siasatan berkenaan kes ini.

"Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Mohammad Azmi Awang Lah di talian 010-9213516," ujarnya.

Dalam sidang media sama, Mohd Khairi turut memaklumkan peguam terbabit disiasat dalam satu kes lain melibatkan kurungan salah dan pemaksaan menyerahkan harta di sebuah bengkel kereta di Paka, Dungun.

Menurutnya, kejadian pada 8 Disember lalu itu melibatkan seorang ahli perniagaan hartanah bersama rakannya yang dikurung oleh tiga individu dipercayai ejen pemungut hutang sebelum dipaksa menyerahkan lima buah kenderaan serta satu geran tanah sebagai cagaran.

"Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan individu terlibat serta kedudukan kenderaan yang diserahkan oleh mangsa," katanya.

+ - reset