Berita Berita
Pegawai, anggota Narkotik IPD Temerloh disyaki salah guna dadah ditukar sementara
KUANTAN 6 Jan - Tujuh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah awal bulan ini, sudah dikenakan tindakan tatatertib sementara siasatan kes masih berjalan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata dua pegawai dan lima anggota berusia antara 29 hingga 42 tahun itu telah ditukarkan ke bahagian pengurusan sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
“Saya sedih dalam keadaan ini dan tidak berkompromi serta bertoleransi terhadap mereka yang terbabit. Mereka ini seperti harapkan pagar, pagar makan padi. Sebagai benteng pertahanan, kita tidak mahu ada pegawai dan anggota terbabit dalam kes seperti ini.
“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka dan setakat ni kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui media pada Program Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.
Pada 3 Januari lalu, dua pegawai berpangkat Inspektor dan lima anggota ditahan bersama seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand dalam serbuan ke atas sebuah premis di Mentakab, Temerloh kira-kira jam 2.15 pagi.
Lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand yang ditahan berusia 22 dan 37 tahun.
Saringan ujian air kencing mendapati seorang pegawai dan lima anggota terbabit positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo, manakala lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand turut disahkan positif.
Bagaimanapun, saringan air kencing ke atas seorang lagi pegawai polis dan seorang lagi wanita warga Thailand didapati negatif.
Mengulas status dua warga Thailand itu, Yahaya berkata mereka memiliki dokumen sah dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Terdahulu, ketika berucap pada perhimpunan berkenaan, beliau mengingatkan semua pegawai dan anggota Polis Pahang supaya mematuhi semua arahan pucuk pimpinan bagi memastikan tiada pelanggaran tatatertib yang boleh mencemarkan imej pasukan.
“Peringatan demi peringatan disampaikan kepada setiap lapisan pegawai, anggota dan pegawai awam supaya mematuhi arahan berkaitan Larangan Mengunjungi Pusat Hiburan dan Penyalahgunaan Dadah.
“Namun masih ada lagi yang tegar apabila melihat statistik pada 2025, seramai 21 anggota terbabit dalam penyalahgunaan dadah manakala 12 atas kesalahan mengunjungi pusat hiburan.
“Sebagai penguatkuasa undang-undang, kita adalah benteng hadapan negara, amat mendukacitakan sekiranya benteng yang diharapkan rupanya rapuh dari dalam.
“Penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga polis bukan sahaja merosakkan diri dan keluarga, malah ia satu pengkhianatan kepada amanah rakyat dan kedaulatan negara,” katanya.
Berita berkaitan
January 7, 2026, 7:35 pm
Budak 10 tahun ditemui kelaparan, cedera di Nilai, polis tahan ibu kandung, bapa tiri
January 7, 2026, 2:46 pm
'Mungkin sudah tiba masa untuk undur diri' - Akmal Saleh
January 7, 2026, 2:21 pm
Shuib kena denda RM10,000, promosi vape dalam podcast
January 7, 2026, 1:34 pm
Samirah, dua remaja kekal dilepas dan dibebaskan kes bunuh CEO Cradle Fund
January 7, 2026, 10:23 am
Agong zahir nasihat tegas, pastikan warga tentera darat pegang teguh integriti, amanah
January 6, 2026, 6:40 pm
UMNO perlu hentikan perdebatan dalaman, fokus susun kekuatan BN - Nurulhidayah
January 6, 2026, 6:34 pm
Mahkamah Tinggi benarkan Abdul Kadir beri keterangan walaupun muflis
January 6, 2026, 6:28 pm
UMNO main peranan penting pastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan
January 6, 2026, 6:02 pm
Tun M disahkan patah pinggul selepas terjatuh di kediaman
January 6, 2026, 5:42 pm
