TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Muhyiddin jumpa Ahmad Samsuri cetus spekulasi kepimpinan baharu PN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Dinamika kepimpinan Perikatan Nasional (PN) kembali menjadi perhatian apabila tular foto pertemuan antara bekas pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai calon pengganti jawatan tertinggi gabungan itu.

Foto pertemuan berkenaan dimuat naik Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi Facebook hari ini, dengan kapsyen ‘Alhamdulillah, insya-Allah’, yang menguatkan lagi tanggapan bahawa Menteri Besar Terengganu itu antara nama tersenarai sebagai Pengerusi PN.

Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok, ketika dihubungi BH, mengesahkan pertemuan antara Muhyiddin dan Ahmad Samsuri dibuat atas mandat diberikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Ya, Dr Sam bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin atas mandat daripada Tuan Guru Presiden.

"Ia 'casual meeting' (mesyuarat biasa) memandangkan Tan Sri Muhyiddin baru pulang dari luar negara," katanya kepada BH.

Bagaimanapun, Mohd Syahir tidak mengesah atau menafikan sama ada pertemuan itu berkait secara langsung dengan spekulasi pencalonan Ahmad Samsuri untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.

Beliau turut memaklumkan bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat, namun tidak memperincikan butiran lanjut.

Sebelum ini, Abdul Hadi mengesahkan PAS akan menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi berkuat kuasa Khamis lalu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, mesyuarat membincangkan calon Pengerusi PN yang baharu dijangka diadakan tidak lama lagi dan turut dihadiri pemimpin BERSATU.

Setakat ini, dua nama dicadangkan PAS iaitu Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahmad Samsuri.

Selain PAS, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut disebut sebagai antara calon berpotensi untuk mengetuai PN.

+ - reset