Berita Berita
'Semua saya lakukan, Lillahi ta‘ala' - Chegubard dakwa diugut, ditawar jutaan ringgit ketika dedah isu ATM
KUALA LUMPUR 6 Jan – Pendedahan berkaitan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa mengundang tekanan hebat terhadap aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, termasuk ugutan dan tawaran wang bernilai jutaan ringgit.
Menurut Chegubard, semua tekanan itu bagaimanapun tidak menggoyahkan pendiriannya kerana beliau berpegang teguh kepada sumpah yang pernah dilafazkan kepada Allahyarham bapanya, Shaharin Sharif, yang meninggal dunia tiga tahun lalu.
“Saya diugut, saya diancam, malah saya ditawarkan sehingga ke tahap jutaan ringgit.”
Katanya, Selasa merupakan ulang tahun ketiga pemergian bapanya yang menjadi titik tolak kepada perjuangan yang digerakkan hari ini.
“Saya bersumpah di hadapan arwah bapa saya ketika saya memegang tangannya selama 20 hingga 30 minit sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.
Badrul Hisham berkata, ketika detik itu beliau berjanji kepada arwah bapanya bahawa dirinya ‘diwakafkan’ sepenuhnya untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
“Segala yang saya lakukan, insya-ALLAH adalah ibadah dan amal. Semua ini menjadi peneman untuknya di sana. Lillahi ta‘ala.
“Kami orang miskin. Bapa saya bekerja memanjat tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala ibu saya pula seorang pencuci di hospital,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga ATM termasuk anggota yang sedang berkhidmat, pegawai serta veteran tentera yang disifatkan tidak putus-putus menyalurkan sokongan dan maklumat berkaitan isu yang didedahkannya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota tentera, pegawai dan veteran yang menghantar sokongan serta pelbagai maklumat.
“Saya memberi jaminan bahawa tiada sesiapa pun akan mengetahui identiti sumber. Walau digantung terbalik sekalipun, saya tidak akan mendedahkan siapa sumber tersebut,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Chegubard berkata pendedahan yang dibuat bukan bersifat peribadi, sebaliknya lahir daripada keprihatinan terhadap nasib anggota bawahan dan veteran ATM yang didakwanya terhimpit dengan tekanan hidup.
“Ia menjadi lebih pedih apabila kita menziarahi rumah-rumah veteran dan keluarga anggota tentera yang hidup dalam keadaan sangat terhimpit dan bergelut dengan tekanan hidup.
“Mereka berdepan pelbagai cabaran tugas, keluar bertugas, pulang seketika untuk makan dan melihat anak-anak, kemudian keluar bertugas semula,” katanya.
Menurutnya, situasi itu amat bertentangan dengan apa yang didakwanya berlaku di peringkat atasan apabila terdapat pihak tertentu hidup mewah dan menyalahgunakan kedudukan.
“Dalam masa yang sama, ada pihak di atas yang sedang berseronok menyakau, menjual kedudukan dan menggunakan pelbagai cara demi kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau menegaskan akan terus bersuara dan membuat pendedahan berkaitan sebarang salah laku demi menjaga kebajikan anggota ATM serta memelihara maruah institusi pertahanan negara.
Berita berkaitan
January 7, 2026, 7:35 pm
Budak 10 tahun ditemui kelaparan, cedera di Nilai, polis tahan ibu kandung, bapa tiri
January 7, 2026, 2:46 pm
'Mungkin sudah tiba masa untuk undur diri' - Akmal Saleh
January 7, 2026, 2:21 pm
Shuib kena denda RM10,000, promosi vape dalam podcast
January 7, 2026, 1:34 pm
Samirah, dua remaja kekal dilepas dan dibebaskan kes bunuh CEO Cradle Fund
January 7, 2026, 10:23 am
Agong zahir nasihat tegas, pastikan warga tentera darat pegang teguh integriti, amanah
January 6, 2026, 6:40 pm
UMNO perlu hentikan perdebatan dalaman, fokus susun kekuatan BN - Nurulhidayah
January 6, 2026, 6:34 pm
Mahkamah Tinggi benarkan Abdul Kadir beri keterangan walaupun muflis
January 6, 2026, 6:28 pm
UMNO main peranan penting pastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan
January 6, 2026, 6:02 pm
Tun M disahkan patah pinggul selepas terjatuh di kediaman
January 6, 2026, 5:42 pm
