Berita Berita
Nahas ragut nyawa penuntut UniSZA: Pemandu Honda Jazz direman 4 hari
KUALA TERENGGANU 9 Jan: Lelaki yang memandu Honda Jazz dalam kemalangan maut yang mengorbankan seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di simpang empat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil, Isnin lalu, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman bermula hari ini hingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Yuhanis Mohd Roslan, selepas membenarkan permohonan polis untuk melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, suspek lelaki berusia 32 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu kira-kira jam 9.45 pagi dengan berpakaian lokap dan tangan bergari.
Dalam kejadian sekitar jam 1.38 tengah hari Isnin lalu, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, tersepit di dalam kereta Perodua Viva yang dipandunya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa yang merupakan penuntut Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari UniSZA, difahamkan sedang dalam perjalanan ke Jabatan Pendidikan Terengganu bagi mendapatkan permit mengajar untuk menjalani latihan praktikal di sebuah sekolah di negeri ini yang dijadualkan bermula Mac depan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Deputi Komisioner Azli Mohd Noor, dipetik berkata siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu mangsa berhenti di lampu isyarat di simpang empat berkenaan.
Namun, ketika kenderaan itu membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, ia dilanggar sebuah Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan.
Kemalangan berkenaan turut menyebabkan pemandu Honda Jazz mengalami kecederaan parah termasuk patah tangan kiri serta kecederaan di bahagian tengkuk, dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Selain itu, Azli turut dipetik memaklumkan suspek disahkan menghidap major depressive disorder (MDD) dan mempunyai rekod rawatan psikiatri di HSNZ sejak Januari 2025.
Berita berkaitan
January 10, 2026, 1:22 pm
'Tunggang agama' kutip duit berjuta masuk akaun peribadi, SPRM sahkan sedang pantau 3 NGO 'popular'
January 9, 2026, 7:43 pm
Tender TDM: SPRM sita jongkong emas, SVR dan wang asing bernilai RM6.9 juta
January 9, 2026, 6:34 pm
UMNO nafi terima surat peletakan jawatan Dr Akmal, Asyraf Wajdi tegur jangan ambil hati
January 9, 2026, 4:49 pm
Hanya 28% CCTV sekolah berfungsi, KPM akui isu keselamatan perlu tindakan segera
January 9, 2026, 3:56 pm
BAP akan disalur lebih awal mulai tahun depan – KPM
January 9, 2026, 2:53 pm
'Rakyat berhak rasa kecewa apabila pihak berkuasa salah guna kedudukan, berasuah' - Agong
January 9, 2026, 2:06 pm
KPM segera kaji keperluan kembalikan UPSR, PT3
January 9, 2026, 1:16 pm
DAP gesa AGC jelaskan keputusan NFA kes 47 pertuduhan babit Zahid Hamidi
January 9, 2026, 10:34 am
