TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UMNO nafi terima surat peletakan jawatan Dr Akmal, Asyraf Wajdi tegur jangan ambil hati

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Jan - UMNO menegaskan sebarang perubahan kepimpinan parti hanya akan diputuskan berdasarkan saluran dan prosedur rasmi, susulan tular dakwaan di media sosial mengenai peletakan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini parti tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung peletakan jawatan berkenaan dan menegaskan UMNO tidak bersandarkan spekulasi atau khabar angin dalam menentukan kedudukan kepimpinan.

"Tidak ada. Setakat ini tiada surat rasmi diterima. Sebagai Setiausaha Agung parti, kita tidak berpandukan kepada apa yang diperkatakan di media sosial atau cakap-cakap yang berlegar," katanya ketika diminta mengulas perkara itu.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan bahawa Dr Akmal didakwa telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.

Menurut sumber yang rapat dengan UMNO, Dr Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin Pemuda menerusi mesej dalam aplikasi WhatsApp semalam.

Sumber itu turut memaklumkan bahawa Dr Akmal ketika ini berada di Shanghai, China.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi secara peribadi menasihatkan Dr Akmal supaya tidak mengambil hati terhadap perbezaan pendapat yang berlaku dalam parti ketika ini.

"Secara peribadi, sebagai abang kepada Dr Akmal yang juga bertanggungjawab meletakkan dia di situ (Ketua Pemuda), perbezaan pandangan itu biasa.

"Saya dulu pun pernah jadi Ketua Pemuda, pada satu ketika pandangan saya tidak diterima oleh semua Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tetapi itu tidak menyebabkan kita harus mengundur diri ataupun lemah semangat kerana itu biasa di dalam tradisi berorganisasi.

"Kadang-kala pandangan kita itu diterima kadang-kala ia tidak diterima, Tapi paling penting dalam prinsip UMNO ini kita sentiasa berpandukan kepada syura. Agree to disagree dan kalau tak bersetuju, akhirnya kita akan ada kata sepakat," katanya.

 

+ - reset