TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DAP gesa AGC jelaskan keputusan NFA kes 47 pertuduhan babit Zahid Hamidi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Jan - Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan jenayah yang sebelum ini dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terus mengundang kritikan dan persoalan berhubung ketelusan serta integriti proses pendakwaan.

Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh, berkata AGC perlu memberi penjelasan terperinci berhubung keputusan itu kerana ia bukan sahaja gagal menyuntik keyakinan awam, malah menimbulkan persoalan serius mengenai proses siasatan dan pembuatan keputusan.

Dalam kenyataan, Ramkarpal yang juga bekas timbalan menteri undang-undang berkata, walaupun AGC menyandarkan keputusan tersebut kepada semakan menyeluruh terhadap keterangan sedia ada, agensi itu tidak menjelaskan sama ada ia menilai semula dapatan prima facie Mahkamah Tinggi pada 2023.

“Dengan segala hormatnya, ini bukan suatu kes di mana tiada sebarang penemuan dibuat,” katanya sambil menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi sebelum ini mendapati wujud kes prima facie terhadap Presiden Umno itu pada akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata, dapatan prima facie tersebut bermakna Ahli Parlimen Bagan Datuk itu secara sah dikehendaki membela diri.

Pada 4 September 2023, pihak pendakwaan memohon agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kesemua 47 pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim perbicaraan, Datuk Collin Lawrence Sequerah, kemudian membenarkan DNAA bagi 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah untuk memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

Ramkarpal mengingatkan bahawa perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang bermula pada 2019 itu telah berlangsung hampir empat tahun dan melibatkan keterangan ramai saksi pendakwaan.

“Melihat kepada keadaan ini, AGC perlu menjelaskan mengapa mereka kini berpendapat bahawa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi tidak lagi relevan, terutamanya apabila dapatan tersebut adalah berdasarkan keterangan mereka sendiri yang dikemukakan di mahkamah,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan memberikan penjelasan yang telus hanya akan menghakis lagi kepercayaan rakyat terhadap AGC dan menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang “tidak wajar”.

Dalam pada itu, peguam Rajesh Nagarajan turut menggesa AGC menjelaskan alasan di sebalik kenyataan bahawa keterangan terhadap Ahmad Zahid kini didapati “tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan” selepas penelitian terhadap hasil siasatan lanjut dan bahan tambahan.

Rajesh berkata, meskipun keterangan sebelum ini cukup kukuh sehingga Mahkamah Tinggi memutuskan wujudnya kes untuk dijawab, selain mewajarkan perbelanjaan awam selama bertahun-tahun, AGC kini mendakwa kes yang sama tidak lagi mampan untuk diteruskan.

“Percanggahan ini menjejaskan teras keyakinan awam terhadap sistem keadilan. Apa yang lebih membimbangkan, ketiadaan sebarang penjelasan bermakna mengenai apa yang sebenarnya telah berubah,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengapa kes berkenaan diteruskan sejauh ini jika sejak awal lagi tiada niat untuk menyelesaikannya.

“Apabila mahkamah sudah sampai ke peringkat ini, keadilan tidak boleh dibiarkan terumbang-ambing tanpa sebarang tempoh pasti,” katanya.

Beliau turut berpandangan situasi berkenaan berpotensi mencetuskan persepsi bahawa wujud keengganan untuk melengkapkan proses perundangan apabila tertuduh merupakan tokoh politik berpengaruh.

Terdahulu hari ini, AGC mengumumkan bahawa pihaknya mendapati keterangan tidak mencukupi untuk meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid susulan siasatan lanjut, sekali gus memuktamadkan kes yang telah lama berlarutan itu.

Presiden Umno itu sebelum ini berdepan pertuduhan menyeleweng jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi serta menerima rasuah membabitkan pelbagai projek ketika menjawat jawatan menteri dalam negeri antara 2013 hingga 2018.

AGC sebelum ini juga menafikan dakwaan bahawa reputasi dan kredibilitinya terjejas akibat perintah DNAA terhadap Ahmad Zahid, dengan Peguam Negara ketika itu, Ahmad Terrirudin Salleh, menegaskan bahawa keputusan sedemikian boleh dibuat walaupun selepas kes prima facie dibuktikan di mahkamah.

+ - reset