Berita Sukan
Tengku Zafrul dedah BAM belanja RM55 juta setahun, rancang ketelusan kontrak pemain
KUALA LUMPUR 10 Jan - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendedahkan mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM55 juta setahun bagi menampung kos pengurusan dan pentadbiran, termasuk gaji dan imbuhan pemain serta jurulatih selain perbelanjaan menghantar pemain menyertai kejohanan antarabangsa.
Menurut Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, setakat November tahun lalu, persatuan itu telah membelanjakan sekitar RM54 juta.
Komponen utama perbelanjaan tersebut tertumpu kepada bayaran gaji pemain dan jurulatih, serta kos penyertaan dalam pelbagai kejohanan.
"Akaun belum ditutup lagi, tetapi sehingga akhir November, jumlah perbelanjaan hampir RM54 juta," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa gaji dan kos kejohanan merangkumi lebih separuh daripada bajet tahunan.
Walaupun kos penganjuran kejohanan juga tinggi, ia diimbangi dengan pulangan hasil yang diterima.
Walau bagaimanapun, BAM masih memerlukan peningkatan pendapatan sebanyak 20 peratus bagi menampung operasi yang dijangka meningkat tahun ini.
"Bagi 11 bulan pertama tahun lalu, pendapatan kita melebihi RM50 juta, termasuk bantuan RM5.5 juta daripada kerajaan," tambah beliau.
Bagi mengatasi cabaran kewangan, BAM kini memberi tumpuan kepada pengukuhan jenama melalui Jawatankuasa Penjenamaan dan Pemasaran yang diterajui oleh Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly.
Strategi ini bertujuan menarik lebih banyak pelaburan daripada sektor korporat.
"Pendekatan yang dibentangkan adalah situasi menang-menang. Kita perlu memperkukuh penjenamaan BAM supaya lebih mudah meyakinkan penaja. Itu mandat beliau dan kita yakin hasilnya," jelas Tengku Zafrul.
Satu perubahan besar yang sedang dirancang oleh BAM adalah pendedahan butiran kontrak dan gaji pemain secara telus, selari dengan standard sukan profesional di peringkat global.
"Saya belum bentangkan secara rasmi kepada majlis, tetapi perbincangan awal sudah dibuat. Saya rasa itu keputusan yang akan kita ambil. Melangkah ke hadapan, kita akan lebih telus mengenai kontrak," katanya.
Walaupun terdapat reaksi berbeza daripada pemain, Tengku Zafrul menegaskan langkah ini penting demi menjaga integriti dan tadbir urus persatuan. Beliau mahu mengelakkan sebarang spekulasi negatif mengenai pengurusan kewangan pemain.
"Dalam banyak sukan profesional, kontrak biasanya didedahkan. Kita mahu elakkan dakwaan tidak tepat kononnya ada potongan tertentu," tegas beliau.
Menyentuh mengenai isu wang kemenangan, beliau memberi jaminan bahawa pihak persatuan tidak mengambil sebarang bahagian daripada hasil titik peluh pemain tersebut.
"Tidak ada satu sen pun wang kemenangan masuk ke akaun BAM. Dari dulu lagi, semuanya milik pemain," katanya bagi menjelaskan kekeliruan yang sering timbul dalam kalangan peminat sukan tanah air.
Berita berkaitan
January 6, 2026, 10:58 am
JDT akui prestasi belum terbaik tanpa Arif Aiman
January 3, 2026, 4:32 pm
Arif Aiman ranking keempat dunia statistik gelecekan, satu-satunya wakil Asia
December 24, 2025, 5:05 pm
FAM buat laporan polis dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan
December 19, 2025, 7:54 pm
Malaysia cipta rekod baharu 221 pingat Sukan SEA di luar Kuala Lumpur
December 18, 2025, 11:18 pm
Sukan SEA: Kabaddi lelaki lakar sejarah raih emas sulung
December 17, 2025, 6:33 pm
Sukan SEA: Miki Ghazali tumpaskan Thailand, hadiahkan emas buat negara acara Muay Thai 57kg
December 17, 2025, 1:31 pm
FIFA isytihar Malaysia kalah 3-0 dalam tiga perlawanan antarabangsa tier 1
December 15, 2025, 10:42 am
Media Thailand terkejut dominasi sepak takraw regu berpasukan berakhir, Malaysia raih emas bersejarah
December 15, 2025, 10:29 am
