Berita Berita
Semua aliran sekolah wajib ambil ujian Bahasa Melayu dan Sejarah mulai tahun ini – Anwar
PUTRAJAYA 20 Jan - Semua sistem pendidikan termasuk Sekolah Antarabangsa, Sekolah Agama Rakyat serta sekolah aliran Cina yang menggunakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diwajibkan menduduki ujian Bahasa Melayu dan Sejarah mulai tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan syarat itu akan memastikan keseragaman asas pendidikan kebangsaan serta mengelakkan polemik berpanjangan berkaitan pengiktirafan laluan pendidikan, khususnya melibatkan UEC.
Menurut beliau, isu UEC tidak lagi perlu menjadi kontroversi sekiranya sekolah aliran Cina berkenaan menerima dan mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.
“Ini terpakai juga dengan kontroversi kecil soal UEC walaupun keadaannya sudah banyak berubah. Majoriti besar pelajar mengambil SPM dan juga SPM Bahasa Melayu.
“Namun, dalam peraturan sekarang, Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia diwajibkan bagi sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat dan semua sekolah aliran Cina atau UEC.
“Dengan kaedah ini, laluan mereka ke pendidikan tinggi sama ada dari sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat atau UEC tidak lagi perlu dipertikaikan, asalkan syarat ini diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menegaskan keperluan semua pelajar menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, selari dengan tuntutan global dan keperluan pasaran kerja.
“Bahasa Melayu mesti dimantapkan sebagai bahasa perantaraan dan bahasa ilmu, namun tahap penguasaan Bahasa Inggeris perlu ditingkatkan dengan serius.
“Anak-anak kita mesti menguasai Bahasa Inggeris dengan baik sebagai bahasa kedua, bukan sekadar belajar dan mengajar secara sambil lewa.
“Standard serta mutu pendidikan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kebangsaan mesti ditingkatkan,” katanya.
Sementara itu, Anwar memaklumkan bahawa mulai 2026, Sistem Matrik Pembelajaran Malaysia, iaitu sistem penilaian atau peperiksaan yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan bagi Darjah Empat sekolah rendah akan diperkenalkan semula.
Menurut beliau, sistem penilaian itu memberi penekanan awal terhadap penguasaan asas pelajar tanpa perlu menunggu sehingga Darjah Enam.
“Tumpuan Matrik Pembelajaran Malaysia ini melibatkan lima subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah,” katanya.
Berita berkaitan
January 20, 2026, 9:07 pm
Dakwaan Hamzah letak jawatan Ketua Pembangkang disahkan palsu
January 20, 2026, 8:56 pm
Mayat lelaki separa reput ditemukan di ladang di Mengkarak
January 20, 2026, 8:37 pm
IJM nafi dakwaan pengubahan wang haram, tegaskan komitmen tadbir urus dan ketelusan
January 20, 2026, 8:31 pm
Budak lima tahun maut tercekik biji rambutan di Felda Neram
January 20, 2026, 5:31 pm
‘UPSR, PT3 tidak kembali, fokus Matriks Pembelajaran Malaysia’ – Fadhlina
January 20, 2026, 4:41 pm
‘Kami lindungi guru, anak-anak jadi keutamaan’ – Fadhlina
January 20, 2026, 3:44 pm
Tun M alami patah pinggul, pemulihan fisioterapi dijangka ambil masa panjang
January 20, 2026, 3:32 pm
Polis kesan remaja perempuan 15 tahun dilaporkan hilang di Serendah
January 20, 2026, 3:19 pm
