TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak lima tahun maut tercekik biji rambutan di Felda Neram

By
|
Kongsi
image

 

KEMAMAN 20 Jan – Kegembiraan menikmati buah rambutan bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas dipercayai tercekik biji buah berkenaan di sebuah rumah di Felda Neram 1, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika mangsa sedang makan buah rambutan bersama kakaknya yang berusia enam tahun.

Menurutnya, kakak mangsa telah mengupas buah rambutan sebelum memberikannya kepada mangsa dan mereka makan bersama.

"Ketika sedang makan, tiba-tiba suara mangsa tersekat-sekat dipercayai akibat biji rambutan yang dimakan tersangkut di kerongkong," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.50 petang hari sama.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disahkan akibat tercekik (choked) dan doktor turut mengesahkan terdapat biji rambutan di dalam kerongkong mangsa," ujarnya.

 

+ - reset