TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

IJM nafi dakwaan pengubahan wang haram, tegaskan komitmen tadbir urus dan ketelusan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Jan - IJM Corporation Berhad (IJM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan syarikat itu, sambil menegaskan komitmen penuh terhadap amalan tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti.

Dalam satu kenyataan, IJM memaklumkan bahawa Pengerusinya, Tan Sri Krishnan Tan, telah bertemu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan.

Menurut syarikat itu, kakitangan IJM lain yang diminta memberikan maklumat juga telah tampil dan bekerjasama sepenuhnya sebagai sebahagian daripada proses siasatan berkenaan.

Mengulas laporan media yang tular semalam, IJM menjelaskan individu yang dirujuk sebagai “penasihat syarikat” pernah dilantik secara profesional pada masa lalu, namun peranannya terhad kepada penyediaan khidmat nasihat berkaitan beberapa transaksi korporat tertentu sahaja.

IJM turut menegaskan bahawa pihaknya, termasuk sekutu perniagaannya di United Kingdom (UK), tidak mengetahui sebarang siasatan oleh Serious Fraud Office (SFO) UK.

“Kami tidak pernah dihubungi oleh pihak berkuasa UK dan sebarang laporan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak tepat,” menurut kenyataan itu yang diterima Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, beberapa laporan media mendakwa wujud siasatan terhadap IJM berhubung pelaburannya di United Kingdom, termasuk dakwaan penglibatan seorang individu yang digelar sebagai ‘penasihat syarikat’, selain tuduhan pengubahan wang haram dan kemungkinan siasatan oleh pihak berkuasa UK.

Berhubung dakwaan pengubahan wang haram, IJM menegaskan bahawa sejak 2012, pelaburan syarikat di UK dibiayai terutamanya melalui kemudahan pembiayaan daripada institusi kewangan Malaysia.

Menurutnya, dana berkenaan dipindahkan kepada syarikat tujuan khas bagi melaksanakan projek berkaitan di UK serta telah melalui proses penilaian perniagaan dan tadbir urus dalaman yang ketat.

IJM turut menegaskan operasi perniagaannya berjalan seperti biasa dan sebarang perkembangan material akan dimaklumkan kepada orang ramai melalui pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia, selaras dengan keperluan pendedahan yang ditetapkan.

+ - reset