TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Kami lindungi guru, anak-anak jadi keutamaan’ – Fadhlina

By
|
Kongsi
image

KPM fokus kebajikan guru, atasi keciciran murid dan jurang pendidikan

PUTRAJAYA 20 Jan - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tumpuan serius terhadap kebajikan guru, isu keciciran murid serta jurang pendidikan sebagai teras utama dalam perancangan pendidikan negara bagi tempoh 2026 hingga 2035.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) merupakan tulang belakang kepada kejayaan pelaksanaan setiap dasar dan inisiatif pendidikan di peringkat sekolah.

Menurut beliau, kekuatan pelaksanaan di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan setiap perancangan yang digubal benar-benar memberi kesan kepada sekolah, guru dan murid.

Berucap sebagai panel Forum Pendidikan Negara: Memacu Lonjakan Pendidikan Negara 2026–2035, Fadhlina berkata KPM komited melindungi kebajikan guru serta mengurangkan beban tugas yang tidak berkaitan dengan pengajaran.

Namun, katanya, pengurangan beban itu perlu disusuli dengan komitmen berterusan guru untuk terus meningkatkan profesionalisme dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid.

Beliau menegaskan bahawa keseluruhan perancangan pendidikan ketika ini dirangka dengan mengambil kira kepentingan anak-anak sebagai keutamaan utama, yang bakal menerima manfaat lebih besar daripada dasar dan langkah yang sedang digerakkan.

Dalam masa sama, Fadhlina mengakui KPM masih berdepan cabaran berkaitan keciciran murid, justeru beberapa perkara asas perlu diselesaikan termasuk soal akses pendidikan yang adil, meraikan kejayaan dari pelbagai sudut serta memastikan Dasar Pendidikan Wajib mencapai sasaran 99 peratus sepenuhnya.

Katanya, selepas keperluan asas itu diperkukuh, tumpuan akan diberikan kepada isu keciciran murid di peringkat sekolah menengah, khususnya, selain menangani keciciran dalam kalangan pelajar Orang Asli.

Beliau turut menyentuh isu kesenjangan pendidikan yang masih wujud, termasuk cabaran berkaitan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kekurangan peranti pembelajaran serta masalah capaian internet yang masih menjadi kekangan di beberapa kawasan.

Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan penglibatan ibu bapa dan komuniti amat penting bagi menjayakan agenda pendidikan negara, sambil menyeru semua pihak agar melihat perancangan pendidikan sebagai tanggungjawab bersama.

Menurut beliau, ibu bapa digalakkan mendapatkan penjelasan yang tepat dan tidak hanya melihat usaha KPM dari sudut kritikan semata-mata kerana banyak perkara perlu diselesaikan dengan segera demi masa depan anak-anak.

“Perancangan ini bukan milik satu pihak sahaja, sebaliknya tanggungjawab kita bersama bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang lebih baik,” katanya.

+ - reset