TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kecuaian pemandu punca utama kemalangan, bukan reka bentuk jalan – Nanta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Jan – Kecuaian pengguna jalan raya seperti memandu laju serta menukar lorong secara berbahaya tanpa memberi isyarat dikenal pasti sebagai punca utama kebanyakan kemalangan di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, majoriti kemalangan yang direkodkan, termasuk di laluan ‘smart lane’, bukan berpunca daripada kelemahan reka bentuk jalan raya, sebaliknya disebabkan kegagalan pemandu mematuhi peraturan lalu lintas.

Menurutnya, antara faktor lain yang menyumbang kepada kemalangan ialah penggunaan lorong kecemasan di luar waktu operasi ‘smart lane’ serta pencerobohan lorong yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Secara keseluruhan, kadar kemalangan di zon ‘smart lane’ adalah sangat rendah dan tidak signifikan jika dibandingkan dengan jumlah kenderaan yang melalui laluan tersebut.

“Analisis di beberapa lokasi ‘smart lane’, termasuk laluan Putra Mahkota ke Southville, menunjukkan pengurangan kadar kemalangan sehingga 22 peratus berbanding sebelum pengaktifan zon berkenaan.

“Manakala di laluan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang ke Persimpangan Rawang, kadar kemalangan menurun sehingga 74 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu, berhubung pelaksanaan penilaian keselamatan bebas ‘smart lane’ serta jumlah kemalangan yang direkodkan di zon berkenaan.

Alexander berkata, kementerian kini memberi tumpuan kepada penyelesaian infrastruktur yang lebih mampan sebagai strategi jangka panjang, berbanding langkah bersifat sementara.

Antara inisiatif tersebut termasuk projek pelebaran dan naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Senai Utara ke Machap yang dilaksanakan secara berfasa, serta Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) bagi mengurangkan kesesakan di utara Semenanjung.

Selain itu, katanya, projek pelebaran lorong Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak turut dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan, khususnya ketika musim perayaan.

Kerajaan juga, ujar beliau, merancang peralihan kepada sistem kutipan tol secara Multi Lane Fast Flow (MLFF) bagi melancarkan aliran trafik di plaza tol, selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam melalui projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan penambahbaikan sistem komuter bagi mengurangkan jumlah kenderaan di lebuh raya utama.

+ - reset