TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pendaftaran murid enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula 2027

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Jan – Ibu bapa akan diberi pilihan untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun memasuki Tahun 1 secara sukarela bermula 2027, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu antara langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi lebih fleksibiliti kepada ibu bapa dalam menentukan laluan pendidikan awal anak-anak mereka.

Menurut beliau, pelaksanaan tersebut bukan perkara baharu kerana telah diamalkan di banyak negara lain, khususnya bagi membolehkan kanak-kanak memasuki alam pekerjaan pada usia lebih muda pada masa hadapan.

“Ia dilaksanakan di banyak negara sebagai usaha menangani cabaran negara menua (ageing nation) dengan memberi peluang kepada generasi muda menyertai sektor pekerjaan lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan bahawa bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala kemasukan ke Tahun 1 pula pada usia enam tahun.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perubahan itu tidak diwajibkan bagi memberi ruang kepada ibu bapa dan warga pendidik membuat persediaan terhadap persekitaran pendidikan baharu.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan melaksanakan dasar berkenaan secara tergesa-gesa, sebaliknya memberikan pilihan sepenuhnya kepada ibu bapa berdasarkan tahap kesediaan anak masing-masing.

“Kesediaan kanak-kanak akan ditentukan melalui saringan diagnostik yang ditetapkan oleh KPM,” jelasnya.

Mengulas struktur pendidikan, beliau menegaskan tiada perubahan dibuat terhadap tempoh persekolahan sedia ada walaupun kemasukan awal ke Tahun 1 diperkenalkan.

“Tempoh pendidikan rendah kekal enam tahun, diikuti pendidikan menengah selama lima tahun dan tamat menengah atas pada usia 16 tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM sedang membuat persediaan rapi termasuk menambah kelas prasekolah, menyediakan bilik darjah tambahan serta prasarana bersasar di seluruh negara.

Menurut beliau, keperluan penambahan guru juga sedang ditangani secara proaktif bagi memastikan kualiti pendidikan terus terpelihara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

+ - reset