TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penunggang motosikal ditahan polis lepas aksi 'superman' tular

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 21 Jan – Polis menahan seorang penunggang motosikal selepas aksinya menunggang secara melulu menggunakan motosikal pinjam tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pekerja am itu ditahan ketika hadir ke Balai Polis Trafik Kuantan pada Selasa.

Menurutnya, suspek hadir ke balai berkenaan selepas dipanggil oleh rakannya yang juga pemilik motosikal bagi membantu siasatan.

“Tangkapan dibuat susulan penularan video berdurasi 17 saat yang memaparkan sekumpulan penunggang melakukan aksi berbahaya, yang dikongsi menerusi satu kumpulan WhatsApp sejak Ahad lalu.

“Hasil siasatan awal, polis berjaya mengenal pasti pemilik salah sebuah motosikal yang terlibat dalam aksi menduga kelajuan dan menunggang secara berbahaya di Jalan Pintasan Kuantan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semakan mendapati motosikal jenis Yamaha Y15 berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 20 tahun dari daerah ini.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati pemilik motosikal bukan individu yang melakukan aksi berbahaya dalam video tersebut, sebaliknya rakannya yang meminjam motosikal berkenaan.

“Suspek mengaku secara lisan bahawa dia merupakan individu yang menunggang motosikal dalam video tular itu sebelum ditahan bersama motosikal berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

+ - reset