Berita Berita
'Saya anak Kampung Baru Cina, saya dapat A+ Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dalam STPM' - Kor Ming
KUALA LUMPUR 21 Jan - Penguasaan bahasa kebangsaan tidak sepatutnya dinilai berdasarkan latar belakang pendidikan atau jenis penempatan, sebaliknya bergantung kepada kesungguhan serta semangat perpaduan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, kanak-kanak dari Kampung Baru Cina juga berupaya sepenuhnya menguasai bahasa Melayu dan mencapai kecemerlangan akademik walaupun bersekolah di aliran Cina.
“Saya seorang anak Kampung Baru Cina. Saya memperoleh A+ dalam Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu dalam peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) saya.
“Ini membuktikan bahawa anak-anak Kampung Baru Cina sama mampu menguasai bahasa Melayu. Kami bertutur dengan fasih dan malah boleh mengarang pantun, walaupun bersekolah di sekolah aliran Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai usaha kerajaan mempromosikan penggunaan bahasa Melayu di Kampung Baru, susulan kebimbangan bahawa sebahagian penduduk menghadapi kesukaran menguasai bahasa berkenaan.
Kor Ming menegaskan, kepelbagaian latar belakang pendidikan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh perpaduan nasional sekiranya semua pihak bertindak dengan niat yang ikhlas.
“Kita mesti bersedia bertindak dengan hati yang besar dan semangat kenegaraan. Saya sedia bekerjasama dengan Maran untuk terus memupuk perpaduan negara,” katanya.
Menjawab soalan berkaitan kampung Orang Asli, Kor Ming menjelaskan komuniti tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Saya akan bertindak mengikut undang-undang bagi memastikan tiada komuniti di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tercicir. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” katanya.
Mengenai pencalonan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Kor Ming berkata inisiatif itu digerakkan oleh Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS) Malaysia, sebuah badan profesional yang bertanggungjawab memelihara serta melindungi tapak warisan budaya di negara ini.
Beliau menambah, kementerian tidak terbabit secara langsung dalam proses pencalonan berkenaan, namun menyokong sepenuhnya usaha badan profesional itu untuk mencadangkan mana-mana kampung — Melayu, India atau Cina — sebagai Tapak Warisan Dunia.
“Pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO akan menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia, sekali gus mengetengahkan warisan budaya dan sejarah negara di peringkat global.
“Ia juga berpotensi merancakkan sektor pelancongan dan menjana aktiviti ekonomi tempatan, khususnya selari dengan Tahun Melawat Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, kementerian bersedia bertindak sebagai penghubung antara badan profesional dan pemimpin tempatan berkaitan.
“Kerajaan melalui kementerian kekal komited untuk meningkatkan kualiti hidup serta taraf sosioekonomi penduduk Kampung Baru sama ada Cina, India atau Melayu menerusi projek dan program pembangunan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat, yang kekal sebagai keutamaan utama kerajaan hari ini,” katanya.
Berita berkaitan
January 21, 2026, 2:06 pm
Murid 6 tahun perlu lulus ujian khas untuk layak masuk Tahun 1 - Fadhlina
January 21, 2026, 1:18 pm
DIPN perlu telus, bebas rasuah untuk jamin keberkesanan pertahanan negara – PM
January 21, 2026, 12:49 pm
JAIS siasat Facebook Masjid Bandar Tasik Puteri muat naik hantaran berunsur politik kepartian
January 21, 2026, 12:30 pm
Wee Ka Siong dirawat akibat jangkitan paru-paru
January 21, 2026, 12:18 pm
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tegur dua timbalan menteri berbual ketika sidang
January 21, 2026, 12:12 pm
Pendaftaran murid enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula 2027
January 21, 2026, 12:01 pm
Penunggang motosikal ditahan polis lepas aksi 'superman' tular
January 21, 2026, 11:55 am
Kecuaian pemandu punca utama kemalangan, bukan reka bentuk jalan – Nanta
January 21, 2026, 11:40 am
