TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DBKL roboh struktur perniagaan vape tanpa kelulusan

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 22 Jan – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan sebuah struktur kekal yang menjalankan aktiviti perniagaan rokok elektronik (vape) tanpa kelulusan di ibu negara, semalam.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan menerusi operasi bersepadu bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Menurut kenyataan itu, struktur berkenaan telah dikosongkan oleh pemilik sebelum bekalan elektrik dipotong oleh pihak TNB, sekali gus membolehkan kerja-kerja perobohan dijalankan.

“Operasi penguatkuasaan berjalan lancar tanpa sebarang provokasi daripada mana-mana pihak. DBKL akan meneruskan tindakan serta pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, DBKL melaksanakan operasi merobohkan struktur tambahan kekal penjaja statik tanpa kelulusan di Jalan Sembilang, Taman Tenaga, Bandar Tun Razak pada 21 Januari lalu.

Menurut DBKL, tindakan berkenaan diambil selepas pemilik struktur gagal mematuhi Notis Penguatkuasaan dan Notis Pengosongan Tapak yang dikeluarkan pada 2 September 2025 dan 12 Januari 2026.

Tambah kenyataan itu, struktur terbabit didapati dibina tanpa sebarang kelulusan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

+ - reset