Berita Berita
Pelajar UiTM perkasa literasi komunikasi murid luar bandar menerusi program PR Cilik
LANGKAWI 22 Jan – Usaha memperkasa literasi komunikasi dalam kalangan murid luar bandar terus diperkukuh menerusi penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PR Cilik oleh pelajar Perhubungan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba, di sini.
Program bertemakan “Suara Kecil, Impak Besar” itu dianjurkan oleh agensi pelajar PRhythm Agency dan melibatkan seramai 103 murid sekolah rendah, dengan objektif memberi pendedahan awal kepada dunia komunikasi dan media melalui pembelajaran berasaskan pengalaman secara interaktif dan menyeronokkan.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Pembaca Berita Cilik, DJ Cilik, Junior Reporter serta pelbagai permainan berteraskan komunikasi dan kerjasama seperti Menara Pintar, Radio Rosak dan Lompat, Pusing, Fokus! yang dirangka khusus bagi meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi lisan dan bukan lisan, kreativiti serta pemikiran kritikal murid.
Penasihat Program PR Cilik, Abuzar Abdul Halim berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya platform pembelajaran bermakna yang memberi peluang kepada murid untuk berani mencuba serta mengekspresikan idea mereka.
“Program ini memberi ruang kepada murid untuk belajar berkomunikasi dengan lebih yakin, berani bercakap di hadapan khalayak dan mencuba perkara baharu melalui aktiviti yang menyeronokkan,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Tuba, Razif Md Rashid menyifatkan program berkenaan sebagai peluang berharga kepada murid luar bandar untuk membina keyakinan diri dan kemahiran insaniah sejak usia muda.
Menurutnya, aktiviti seperti Pembaca Berita Cilik dan DJ Cilik bukan sahaja menarik, malah membantu murid berani bersuara serta berkomunikasi di hadapan orang ramai, satu kemahiran penting untuk masa depan mereka.
Ketua Program, Wan Safiah Abdullah Sani pula menjelaskan, PR Cilik dirangka oleh pelajar tahun akhir Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam UiTM sebagai usaha menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan komuniti sebenar.
“Tema ‘Suara Kecil, Impak Besar’ membawa mesej bahawa idea dan suara murid, walaupun kecil, mampu mencetus perubahan positif apabila dimanfaatkan dengan cara yang betul,” katanya.
Selain memberi manfaat kepada komuniti Pulau Tuba, program itu turut menjadi medan pembelajaran praktikal kepada pelajar UiTM dalam mengaplikasikan ilmu perhubungan awam, pengurusan acara dan komunikasi strategik, di samping memupuk kemahiran kepimpinan, empati serta kerja berpasukan.
Penganjuran PR Cilik juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dengan memperluas akses pembelajaran tidak formal kepada komuniti yang mempunyai pendedahan terhad terhadap bidang komunikasi dan media, sekali gus mengukuhkan peranan UiTM dalam pembangunan komuniti dan pembelajaran abad ke-21.
Berita berkaitan
January 22, 2026, 3:32 pm
Beberapa kementerian dalam radar SPRM babit ketirisan perolehan - Azam Baki
January 22, 2026, 3:22 pm
SPRM tahan 'Tan Sri' disyaki scam duit pelabur lebih RM300 juta
January 22, 2026, 2:29 pm
'143 negara dah lama laksana Tahun Satu pada usia enam tahun' - Nurul Izzah
January 22, 2026, 2:18 pm
PN terus berteka-teki mengenai pelantikan pengerusi baharu
January 22, 2026, 2:09 pm
Lelaki menyamar polis ditahan, ugut remaja di Batu Berendam
January 22, 2026, 2:01 pm
Penjawat awam mula terima kenaikan gaji Fasa Kedua SSPA bermula hari ini
January 22, 2026, 1:36 pm
Kemasukan Tahun 1 usia enam tahun bukan 'eksperimen' - Fadhlina
January 22, 2026, 12:07 pm
Inkues Zara Qairina: Jumpa bukti baharu, mahkamah panggil semula bekas ketua warden
January 22, 2026, 12:06 pm
