Berita Berita
'143 negara dah lama laksana Tahun Satu pada usia enam tahun' - Nurul Izzah
KUALA LUMPUR 22 Jan - Cadangan pendaftaran secara sukarela ke Tahun Satu pada usia enam tahun disifatkan sebagai langkah progresif yang meletakkan sistem pendidikan negara seiring dengan amalan antarabangsa, melibatkan lebih 140 negara yang telah lama melaksanakan pendekatan serupa.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, pendedahan awal kepada persekitaran pembelajaran berstruktur membolehkan intervensi dilakukan secara bersasar, selain membantu mengenal pasti keperluan perkembangan kanak-kanak serta membina asas kukuh bagi pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau turut berpandangan dasar berkenaan berpotensi membantu ibu bapa bekerja yang berdepan peningkatan kos penjagaan anak.
“Seperti dilaporkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada 2019, kos penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang tinggi dikenal pasti sebagai antara penyumbang beban kewangan pasangan muda berusia 20 hingga 40 tahun.
“Tambahan pula, pelaksanaan dasar ini perlu mengambil kira jurang kesediaan dari segi prasarana dan tenaga pengajar antara wilayah, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman serta Sabah dan Sarawak. Ini kerana peralihan secara sukarela berpotensi mewujudkan lonjakan bilangan murid dalam tempoh singkat.
“Tanpa pendekatan yang berbeza mengikut konteks setempat, risiko ketidaksamaan akses dan kualiti pendidikan awal berkemungkinan terus melebar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala Tahun Satu pula pada usia enam tahun, sebagaimana diumumkan dalam Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Anwar, perubahan itu tidak diwajibkan kepada ibu bapa dan diperkenalkan sebagai langkah menyesuaikan sistem pendidikan dengan keperluan semasa.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah menekankan kepentingan pendedahan awal kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah kebangsaan agar diberi perhatian khusus.
Katanya, langkah itu selari dengan fenomena ‘the lost boys’ seperti dilaporkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2023.
“Statistik tahun 2025 menunjukkan 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih laluan TVET. Pendedahan awal TVET di peringkat sekolah rendah dan menengah bukan sahaja membina asas kemahiran, malah turut menarik minat murid sejak awal serta menjamin kesinambungan kurikulum hingga ke alam pekerjaan yang lebih bersesuaian dengan kehendak industri.
“Negara seperti Jerman dan Finland telah lama menyepadukan pembelajaran berasaskan kemahiran dan aplikasi dunia sebenar sejak sekolah rendah dengan penekanan kepada eksplorasi minat, literasi kerja serta pembinaan asas kemahiran.
“Ini terbukti membantu meningkatkan penglibatan murid serta mengurangkan risiko keciciran di peringkat menengah,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas keputusan meletakkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai peneraju tunggal sistem pendidikan prauniversiti termasuk Tingkatan Enam dan matrikulasi mulai 2027, Nurul Izzah menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah perancangan jangka panjang.
Beliau berkata, pendekatan itu berpotensi menjadikan penempatan ke universiti awam lebih inklusif selain memaksimumkan penggunaan sumber dan bakat sedia ada.
“Keputusan ini dibuat berikutan kebimbangan terhadap kekurangan tempat bagi kursus-kursus popular, terutamanya dalam kalangan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi sukar mendapat tempat di universiti.
“Ternyata, pendidikan perlu dipandu oleh kompas moral yang kukuh. Pelaksanaan pelan yang menitikberatkan etika, integriti, empati dan tanggungjawab sosial sebagai teras pengajaran dan pembelajaran mampu memastikan kecemerlangan akademik seiring dengan pembentukan sahsiah,” katanya.
Sehubungan itu, Nurul Izzah menegaskan kerjasama erat antara ibu bapa, tenaga pengajar, badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pemegang taruh lain menjadi kunci utama bagi memastikan pelaksanaan RPN 2026–2035 berjalan secara menyeluruh dan berkesan.
Berita berkaitan
January 22, 2026, 5:03 pm
'Tiada 'kolaborasi agung' selagi UMNO bersama dengan DAP' - Muhyiddin
January 22, 2026, 3:32 pm
Beberapa kementerian dalam radar SPRM babit ketirisan perolehan - Azam Baki
January 22, 2026, 3:22 pm
SPRM tahan 'Tan Sri' disyaki scam duit pelabur lebih RM300 juta
January 22, 2026, 2:18 pm
PN terus berteka-teki mengenai pelantikan pengerusi baharu
January 22, 2026, 2:09 pm
Lelaki menyamar polis ditahan, ugut remaja di Batu Berendam
January 22, 2026, 2:01 pm
Penjawat awam mula terima kenaikan gaji Fasa Kedua SSPA bermula hari ini
January 22, 2026, 1:36 pm
Kemasukan Tahun 1 usia enam tahun bukan 'eksperimen' - Fadhlina
January 22, 2026, 12:22 pm
Pelajar UiTM perkasa literasi komunikasi murid luar bandar menerusi program PR Cilik
January 22, 2026, 12:07 pm
