Berita Berita
'Tiada 'kolaborasi agung' selagi UMNO bersama dengan DAP' - Muhyiddin
KUALA LUMPUR 22 Jan - Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpandangan cadangan penubuhan gabungan besar atau “kolaborasi agung” bagi menyatukan parti Melayu dan Islam sukar direalisasikan selagi Umno meneruskan kerjasama politik dengan DAP dalam kerajaan ketika ini.
Menurut laporan Malaysiakini, walaupun menegaskan kekal terbuka terhadap idea tersebut, Muhyiddin berkata hubungan rapat Umno dengan DAP menjadi halangan utama untuk merealisasikan cadangan yang dikemukakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.
“Kita tidak boleh terima selagi Umno mengadakan kerjasama dengan DAP, kami tak akan setuju.
“Adakah Zahid sekarang mahu mengatakan bahawa beliau mahu berpisah dengan Pakatan Harapan (PH)?
“Ini perlu dijawab sebelum mengadakan perbincangan selanjutnya,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam bersama pengamal media berbahasa Tamil di Brickfields, semalam.
Zahid sebelum ini mengemukakan usul pembentukan satu gabungan besar “kolaborasi agung” dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu lalu.
Bagaimanapun, Zahid menegaskan cadangan itu tertakluk kepada satu syarat utama, iaitu tidak mengganggu atau menggugat kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ditanya sama ada Umno pernah mengadakan pertemuan dengan PAS atau Bersatu bagi membincangkan cadangan tersebut, Zahid memaklumkan pertemuan sedemikian pernah berlaku sebelum ini.
“Ada, pertemuan tidak beberapa lama dulu,” katanya ringkas.
Namun, Muhyiddin menafikan Bersatu pernah memberikan mandat kepada mana-mana pemimpin untuk berunding dengan Umno berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata gabungan pembangkang masih belum membincangkan sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan baharu.
“Dalam PN, kita belum berbincang kumpulan mana. Kami percaya untuk masa depan, perkara berkaitan kerjasama luar perlu dipersetujui bersama. Setakat ini, tiada perkara sebegitu,” kata bekas pengerusi PN itu.
Ditanya mengenai kemungkinan bertemu Zahid bagi membincangkan cadangan berkenaan, Muhyiddin berkata beliau sedia mengadakan pertemuan, namun menegaskan niat sebenar di sebalik cadangan kolaborasi agung itu perlu dijelaskan terlebih dahulu.
“Saya masih terbuka cadangan ini. Namun, Zahid perlu menjelaskan niat sebenar penubuhan kerjasama ini terlebih dahulu.
“Pertemuan boleh diadakan bila-bila masa, tetapi saya mahu tahu apa yang dia maksudkan dengan cadangan itu,” katanya.
Berita berkaitan
January 22, 2026, 3:32 pm
Beberapa kementerian dalam radar SPRM babit ketirisan perolehan - Azam Baki
January 22, 2026, 3:22 pm
SPRM tahan 'Tan Sri' disyaki scam duit pelabur lebih RM300 juta
January 22, 2026, 2:29 pm
'143 negara dah lama laksana Tahun Satu pada usia enam tahun' - Nurul Izzah
January 22, 2026, 2:18 pm
PN terus berteka-teki mengenai pelantikan pengerusi baharu
January 22, 2026, 2:09 pm
Lelaki menyamar polis ditahan, ugut remaja di Batu Berendam
January 22, 2026, 2:01 pm
Penjawat awam mula terima kenaikan gaji Fasa Kedua SSPA bermula hari ini
January 22, 2026, 1:36 pm
Kemasukan Tahun 1 usia enam tahun bukan 'eksperimen' - Fadhlina
January 22, 2026, 12:22 pm
Pelajar UiTM perkasa literasi komunikasi murid luar bandar menerusi program PR Cilik
January 22, 2026, 12:07 pm
