TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas panglima tentera tegaskan kes tidak jejas reputasi ATM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Jan - Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, menegaskan kes yang melibatkan dirinya tidak akan menjejaskan reputasi serta kewibawaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut beliau, institusi angkatan tentera wajar diberi ruang dan peluang untuk menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi.

“Ia tidak akan menjejaskan angkatan tentera kerana angkatan tentera telah wujud sejak 92 tahun lalu dan akan terus kekal kuat.

“Kami akan bangkit semula, insya-Allah. Berilah peluang kepada angkatan tentera dalam kalangan kita untuk berundur seketika dan menilai semula tindakan yang sepatutnya diambil,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media mengenai pertuduhan yang dihadapi pegawai tertinggi tentera dan kemungkinan ia menjejaskan reputasi ATM secara keseluruhan.

Ketika meninggalkan pekarangan Kompleks Mahkamah, Mohd Nizam sempat berseloroh serta mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan kepada wakil media.

Terdahulu, Mohd Nizam, 60, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan bagi menerima suapan berjumlah RM552,481.90, selain masing-masing satu pertuduhan pecah amanah melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) berjumlah RM3 juta dan menerima RM200,000 sejak tahun 2024.

Mengikut pertuduhan, beliau yang ketika itu memegang jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) didakwa menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan bagi diri sendiri melibatkan jumlah RM267,481.90 dan RM285,000.

Beliau turut didakwa melantik lima syarikat bagi kerja pembekalan kain pelikat, kain batik, peralatan ‘multifunctional folding pliers’, beg galas dan tuala mandi untuk bungkusan barangan hari raya TKAT bagi tahun 2025.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa telah diamanahkan wang berjumlah RM3 juta dalam akaun bank milik TKAT, namun melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.

Selain itu, beliau turut didakwa menerima wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat berusia 57 tahun yang diketahui mempunyai kaitan dengan urusan yang dijalankan tertuduh.

Bekas PAT ke-23 itu dibenarkan ikat jamin sebanyak RM180,000 bagi kesemua pertuduhan, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Mac depan.

+ - reset