Berita Berita
Syarikat pendidikan Islam fail saman fitnah libatkan isu buli
KUALA LUMPUR 27 Jan – Sebuah syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan Islam swasta memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap 10 pihak, termasuk bapa kepada seorang murid Tahun Satu, berhubung dakwaan berkaitan isu buli yang berlaku tahun lalu.
El Khawarizmi Education Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman tersebut menerusi Tetuan Muizzuddin pada 22 Januari lalu.
Plaintif menamakan bapa kepada salah seorang murid sekolah berkenaan sebagai defendan pertama, manakala empat syarikat portal berita dinamakan sebagai defendan kedua hingga kelima.
Sementara itu, defendan keenam hingga ke-10 terdiri daripada lima wartawan yang bertugas di portal berita terbabit.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media, plaintif memohon perisytiharan mahkamah bahawa semua defendan telah memfitnah syarikat itu sama ada secara bersama atau berasingan.
Plaintif turut memohon perintah supaya kesemua defendan menerbitkan permohonan maaf serta menarik balik kenyataan yang didakwa memfitnah itu di semua platform dalam talian dan media sosial milik masing-masing.
Selain itu, syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan termasuk prasekolah dan sekolah rendah Islam itu turut menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk daripada semua defendan.
Mengikut latar belakang kes, pada 24 Julai tahun lalu, plaintif mendakwa defendan pertama mengambil anaknya daripada sekolah dalam keadaan normal dan sihat.
Namun pada jam 7.08 malam hari yang sama, seorang guru sekolah berkenaan menerima mesej daripada isteri defendan pertama yang mendakwa bahagian sulit anak mereka mengalami pendarahan.
Defendan pertama turut mendakwa kanak-kanak itu ditendang oleh seorang murid lain dari kelas yang sama.
Kanak-kanak berkenaan kemudiannya menjalani prosedur pembedahan melibatkan pembuangan kulup di sebuah hospital.
Susulan kejadian itu, satu perjumpaan diadakan antara keluarga murid terbabit, pihak sekolah dan beberapa pihak lain.
Pada 29 Julai 2025, hasil siasatan dalaman mendapati tiada bukti berlakunya perbuatan buli serta tiada kecuaian dilakukan oleh mana-mana guru sekolah.
Siasatan lanjut turut mendapati defendan pertama mempunyai tunggakan yuran sekolah menyebabkan anaknya tidak dilindungi di bawah polisi insurans Takaful sekolah.
Bagaimanapun, antara 9 dan 10 September 2025, plaintif mendakwa defendan pertama telah menyebabkan kenyataan berunsur fitnah diterbitkan di beberapa platform dalam talian, termasuk dakwaan bahawa pembuli tidak dikenakan sebarang tindakan.
Menurut plaintif, penerbitan kenyataan tersebut telah menjejaskan reputasi dan imej institusi pendidikan berkenaan.
Berita berkaitan
January 27, 2026, 11:23 pm
Ibu terlupa hantar ke pengasuh, budak 2 tahun maut tertinggal dalam kereta hampir 9 jam
January 27, 2026, 9:35 pm
Hasutan boikot bayaran zakat jejaskan kebajikan asnaf – MAIS
January 27, 2026, 9:06 pm
Kes kebakaran terbuka meningkat hampir 300 peratus hingga akhir Januari
January 27, 2026, 9:00 pm
Polis minta waris bantu kenal pasti mayat lelaki tanpa identiti di Sungai Petani
January 27, 2026, 8:55 pm
Abdul Hadi dakwa tindakan undang-undang rasuah masih lemah
January 27, 2026, 7:27 pm
PDRM sedia kawalan keselamatan tahap tertinggi sebaik geng 'Kapten Praba' tiba dari Mumbai
January 27, 2026, 5:47 pm
'Tak semua kuil dibina secara tidak sah, majoriti ada sejarah sejak zaman British' - Thiban
January 27, 2026, 5:18 pm
