TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes kebakaran terbuka meningkat hampir 300 peratus hingga akhir Januari

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 27 Jan – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan peningkatan ketara kes kebakaran terbuka di seluruh negara apabila sebanyak 2,917 kes dilaporkan bagi tempoh 1 hingga 27 Januari, meningkat hampir 300 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bahagian Pengurusan Korporat JBPM memaklumkan, kebakaran terbuka dalam tempoh itu melibatkan keluasan keseluruhan 328 hektar, dengan 287 hektar telah berjaya dipadamkan manakala baki 41 hektar masih dalam tindakan pemadaman.

Menurut kenyataan itu, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan amat signifikan berbanding tempoh sama sebelum ini iaitu 729 kes pada tahun lalu melibatkan keluasan 11.19 hektar, manakala hanya 66 kes direkodkan pada 2024 dengan keluasan 55.03 hektar.

JBPM turut memaklumkan kebakaran kawasan belukar dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan kes kebakaran terbuka, dengan sebanyak 2,187 kes atau 75 peratus direkodkan bagi tempoh 1 hingga 27 Januari.

“Bagi tempoh sama tahun lalu, sebanyak 440 kes atau 60 peratus direkodkan, manakala 53 kes atau 80 peratus dicatatkan pada 2024,” katanya.

Selain itu, kebakaran di tapak pelupusan sampah haram turut menyumbang kepada peningkatan kes kebakaran terbuka apabila sebanyak 431 kes direkodkan setakat Selasa.

“Sebanyak 244 kes direkodkan pada tahun lalu dan hanya sembilan kes pada 2024 bagi tempoh yang sama,” katanya.

Menurut JBPM, peningkatan ketara ini dipercayai berkait rapat dengan keadaan cuaca panas, kering dan berangin yang dijangka berterusan di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia, khususnya di bahagian utara, sehingga 31 Januari berdasarkan analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

“Keadaan cuaca ini berpotensi meningkatkan risiko kemerebakan kebakaran terbuka, terutama melibatkan kawasan belukar dan tapak pelupusan sampah haram,” katanya.

JBPM memaklumkan setakat ini kebakaran terbuka yang masih aktif tertumpu di Johor melibatkan keluasan 196.5 hektar di Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Desa Selatan Kampung Lepau serta Tapak Pelupusan Sampah Bukit Tuatau, Bandar Penawar.

Menurut kenyataan itu, operasi pemadaman sedang giat dijalankan oleh JBPM Johor dan pihaknya sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi.

Sehubungan itu, JBPM menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka serta mematuhi peraturan dan langkah keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar.

+ - reset