TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tiada campur tangan pihak luar' - Khaled Nordin tegaskan pelantikan pucuk pimpinan ATM dibuat ikut undang-undang, profesional

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 Jan - Proses pelantikan pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang dan tadbir urus institusi yang ditetapkan, sekali gus menolak dakwaan wujud campur tangan atau pengaruh pihak luar dalam urusan berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata proses itu dilaksanakan secara profesional dan objektif, selain mematuhi prinsip profesionalisme serta kedaulatan undang-undang.

Penjelasan itu diberikan beliau menjawab soalan dibangkitkan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai peralihan kepimpinan ATM yang dikatakan tidak mengikut apa dirancang pasukan, selain kenaikan pangkat pucuk pimpinan yang tidak mengikut apa dirancang kepimpinan tertinggi ATM, tetapi dikawal pihak luar.

"Pelantikan kepimpinan ATM dilaksanakan berlandaskan prinsip tadbir urus institusi yang kukuh, serta peruntukan undang-undang sedia ada.

"Proses pelantikan ini dilaksanakan secara teratur dan berintegriti melalui Majlis Angkatan Tentera, selaras peranan dan fungsinya seperti diperuntukkan dalam Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan," katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Dalam pada itu, beliau mengakui meskipun ATM mempunyai perancangan penggantian kepimpinan, pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan kerajaan mengikut Perlembagaan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

"Peralihan kepimpinan ATM turut dipengaruhi faktor tadbir urus dan dasar semasa, termasuk penilaian kepentingan keselamatan negara serta pelaksanaan reformasi integriti.

"Dalam hal ini, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan tetap komited untuk memastikan proses ini telus bagi mengekalkan profesionalisme dan keyakinan rakyat terhadap institusi ATM," katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Secara asasnya, Mohamed Khaled berkata ATM akan mengenal pasti dan menyenaraikan calon berkelayakan berdasarkan kriteria merit, pengalaman, gred serta keperluan jawatan yang berkaitan, yang mana proses ini dilaksanakan secara profesional dan objektif tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh daripada pihak luar.

Seterusnya, katanya semua pertimbangan dan keputusan berkaitan pelantikan dibuat secara kolektif oleh Majlis Angkatan Tentera yang dianggotai oleh Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Laut, Panglima Tentera Udara, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) dan Wakil Raja-Raja.

Selain itu, Timbalan Menteri Pertahanan dan Ketua Hakim Peguam yang turut menganggotai Majlis Angkatan Tentera sebagai anggota turut hadir.

"Mekanisme ini berfungsi sebagai semak dan imbang bagi memastikan setiap pelantikan dibuat secara telus, adil dan bertanggungjawab.

"Setelah dipersetujui di peringkat Majlis Angkatan Tentera, syor pelantikan kemudiannya diangkat untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Justeru, jelas pelantikan pucuk pimpinan ATM dilaksanakan mengikut kerangka perundangan dan institusi yang ditetapkan, serta menepati prinsip profesionalisme dan kedaulatan undang-undang," katanya.

+ - reset