TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita beri alasan beli makanan sebelum lari tinggalkan anak dengan jiran di Semenyih

By
|
Kongsi
image

 

HULU LANGAT 30 Jan - Helah seorang wanita yang kononnya keluar membeli makanan berakhir dengan nasib seorang kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri bersama jiran, sebelum ibu kandungnya menghilangkan diri.

Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang mengesan ibu kandung serta waris kepada seorang kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan kepada jiran di Kampung Pasir, Semenyih pada 7 Disember lalu.

"Berdasarkan maklumat diperolehi, wanita itu meminta bantuan seorang jiran untuk menjaga anaknya sebentar atas alasan mahu keluar membeli makanan.

"Bagaimanapun, wanita berkenaan tidak kembali untuk mengambil anaknya menyebabkan jirannya membuat laporan polis selepas kanak-kanak itu berada dalam jagaannya selama tujuh hari," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditinggalkan dengan jirannya.

"Kanak-kanak berkenaan dikenali dengan panggilan Aisyah dan dianggarkan berusia kira-kira empat tahun.

"Berdasarkan maklumat daripada jiran, wanita bernama Ina berkenaan hanya dikenalinya selama sebulan dianggarkan berusia lingkungan 30-an dan dipercayai warga Indonesia," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak itu kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, Perak melalui perintah mahkamah di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan ibu kandung atau waris kanak-kanak terbabit diminta menghubungi pelindung, Mohd Shuhaily Mansor di talian 03-87395070.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita berkenaan juga boleh hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat untuk tindakan lanjut," katanya.

 

+ - reset