Berita Berita
SPRM bongkar rangkaian pusat urut terkemuka bayar wang perlindungan RM2.7 juta kepada penguat kuasa
SHAH ALAM 30 Jan - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sebuah rangkaian pusat urut terkemuka mendedahkan dakwaan wujudnya pembayaran rasuah bernilai jutaan ringgit kepada pegawai penguat kuasa bagi melindungi operasi perniagaan tersebut.
Menurut laporan Sinar Harian, SPRM mengesyaki terdapat bayaran rasuah sebanyak RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai agensi penguat kuasa sebagai wang perlindungan, susulan penahanan lima lagi individu pada Khamis lalu yang membabitkan empat penguat kuasa dan seorang pesara agensi penguat kuasa.
Empat daripada mereka, terdiri daripada tiga penguat kuasa dan seorang pesara, direman selama empat hari sehingga 2 Februari selepas permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM pada Jumaat.
Menurut sumber, SPRM turut mengambil tindakan membekukan 124 akaun perbankan milik individu dan syarikatdengan nilai keseluruhan kira-kira RM13.3 juta.
"Rangkaian pusat urut ini dipercayai menggunakan sistem perakaunan dua lapis di mana 80 peratus jualan tunai tidak dilaporkan, menyebabkan anggaran kebocoran cukai sebanyak RM7.56 juta setahun.
"Disyaki terdapat bayaran rasuah sebanyak RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai wang perlindungan," katanya pada Jumaat.
Sumber itu berkata, kesemua suspek disyaki menerima suapan daripada syarikat perniagaan pusat urut berkenaan bagi melancarkan operasi pusat urut serta memudah cara proses permit pekerja asing.
"Sehingga kini juga, SPRM telah mengambil keterangan daripada 16 saksi bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, susulan siasatan tersebut, SPRM turut menjalankan penggeledahan di enam lokasi di Lembah Klangmembabitkan pejabat dan kediaman suspek yang dikenal pasti.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Katanya, siasatan juga sedang meneliti dan mengenal pasti unsur kesalahan jenayah lain khususnya di bawah aktiviti pengubahan wang haram.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah menahan reman lima individu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan rangkaian pusat urut berkenaan, dengan empat suspek direman selama empat hari sehingga 31 Januari dan seorang lagi selama tiga hari sehingga 30 Januari.
Pada Selasa, SPRM melalui Bahagian Operasi Khas turut melaksanakan siasatan bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap rangkaian pusat urut yang mempunyai 32 cawangan di seluruh negara dan dipercayai beroperasi sejak 2023.
Siasatan awal mendapati syarikat terbabit disyaki mengamalkan sistem perakaunan dua lapis sehingga mengakibatkan kebocoran cukai sekitar RM7.56 juta setahun.
Siasatan turut melibatkan pembekuan aset di Lembah Klang dan Johor yang disyaki hasil pengubahan wang haram, termasuk lima kenderaan mewah bernilai RM1.5 juta, lima premis komersial bernilai RM7.3 juta, dua hartanah perindustrian bernilai RM2.3 juta, serta tujuh unit kediaman bernilai kira-kira RM7.7 juta.
Berita berkaitan
January 30, 2026, 7:27 pm
Semua aliran sekolah terima baik Bahasa Melayu, Sejarah wajib dalam SPM
January 30, 2026, 7:11 pm
Anwar tinjau persiapan Thaipusam di Kuil Sri Maha Mariamman Batu Caves
January 30, 2026, 7:02 pm
SPRM nafi dakwaan keluarkan saman palsu, ancam tindakan undang-undang
January 30, 2026, 6:53 pm
Pegawai kanan TLDM didakwa paksa kontraktor sewa hotel miliknya, dedah Azam Baki
January 30, 2026, 6:43 pm
Penguatkuasaan perlu menyeluruh hingga peringkat PBT - PM
January 30, 2026, 6:36 pm
Hanya 30 ladang ternakan babi masih beroperasi di Tanjung Sepat
January 30, 2026, 4:01 pm
Polis panggil tujuh saksi bantu siasatan kes budak 2 tahun maut tertinggal dalam kereta di Seremban
January 30, 2026, 3:42 pm
Wanita beri alasan beli makanan sebelum lari tinggalkan anak dengan jiran di Semenyih
January 30, 2026, 3:22 pm
