TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar tinjau persiapan Thaipusam di Kuil Sri Maha Mariamman Batu Caves

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan tinjauan ke pekarangan Kuil Sri Maha Mariamman, Batu Caves, Gombak petang ini bagi melihat persiapan penganut Hindu menjelang sambutan Thaipusam yang dijadual berlangsung Ahad ini.

Tinjauan tersebut dilakukan sejurus beliau menunaikan solat Jumaat di Gombak dengan memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan, kebersihan serta keselesaan bagi memastikan kelancaran dan kesejahteraan penganut yang menjalankan ibadat.

Menurut Anwar, lawatan berkenaan memperlihatkan kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

“Kepelbagaian budaya dan agama inilah yang menyatukan kita dalam semangat perpaduan. Ia perlu terus dipelihara dengan menolak sebarang usaha menanam kebencian, perpecahan serta prasangka antara kaum dan agama,” katanya menerusi satu hantaran.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan oleh pihak pengurusan kuil, penganut Hindu serta para pengunjung.

“Keramahan yang ditunjukkan mencerminkan semangat muhibah yang menjadi asas kekuatan negara kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar sambutan Thaipusam tahun ini membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan ketenangan kepada seluruh penganut Hindu di negara ini.

Thaipusam merupakan perayaan keagamaan penting bagi penganut Hindu yang disambut setiap tahun dengan tumpuan utama di Batu Caves, Selangor.

+ - reset