TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pegawai kanan TLDM didakwa paksa kontraktor sewa hotel miliknya, dedah Azam Baki

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan kerana memiliki dua hotel berhampiran Pangkalan TLDM Lumut, Perak, dipercayai menggunakan unsur paksaan terhadap kontraktor yang terlibat dengan projek tentera laut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai berkenaan didakwa memaksa antara enam hingga lapan kontraktor untuk menyewa hotel miliknya sebagai tempat penginapan pekerja mereka.

Menurut beliau, paksaan itu berlaku kerana kontraktor terbabit memerlukan penginapan untuk pekerja luar yang terlibat dalam kontrak TLDM.

“Dalam kes ini, kontraktor dipaksa menyewa hotel miliknya. Mereka terpaksa bayar kerana berada dalam tekanan dan ketakutan. Jika enggan, perniagaan mereka berisiko terjejas atau bankrap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif Podcast Kolar Hitam bertajuk Azam 2026 Membawa SPRM Berani & Radikal yang disiarkan menerusi saluran YouTube SPRM, hari ini.

Azam menjelaskan situasi sedemikian menimbulkan dilema dari sudut pendakwaan kerana kontraktor yang membuat bayaran sebenarnya bertindak di bawah paksaan, bukannya secara sukarela.

Sebelum ini, hasil carian mendapati dua hotel jenis bajet berkenaan terletak kurang 10 kilometer dari Pangkalan TLDM Lumut dan menawarkan kadar penginapan sekitar RM50 hingga RM70 semalam.

Walaupun beroperasi sebagai hotel bajet, siasatan SPRM mendapati nilai kedua-dua hotel itu dianggarkan sekurang-kurangnya RM2 juta berdasarkan penilaian semasa.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada pegawai berkenaan telah mengisytiharkan pemilikan harta tersebut. Mengikut etika dan peraturan kelakuan Kementerian Pertahanan (MINDEF), kegagalan mengisytiharkan harta boleh dikenakan tindakan tatatertib.

+ - reset