TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua anggota MBPP cedera terkena letupan belon yang disita ketika operasi Thaipusam

By
|
Kongsi
image

 

GEORGETOWN 2 Feb - Operasi penguatkuasaan terhadap penjaja haram sempena sambutan Thaipusam bertukar cemas apabila dua anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) cedera selepas belon yang disita secara tiba-tiba meletup dan terbakar, malam tadi.

Kejadian itu berlaku di Ibu Pejabat Bahagian Pelesenan MBPP di Lebuh Union di sini ketika anggota terbabit sedang mengeluarkan belon berkenaan daripada sebuah pikap milik MBPP.

Difahamkan, belon terbabit disita daripada seorang peniaga yang didapati tidak memiliki permit perniagaan dan dipercayai warga asing, dalam operasi di Jalan Kebun Bunga kira-kira jam 10.45 malam sebelum dibawa ke premis berkenaan.

Menurut sumber, peniaga terbabit dipercayai mengisi belon menggunakan gas hidrogen yang lebih murah serta mudah terbakar berbanding helium, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Insiden itu menyebabkan dua anggota MBPP yang berada berhampiran mengalami kecederaan melecur, dengan seorang daripada mereka dilaporkan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Pulau Pinang, manakala seorang lagi cedera ringan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H'ng Mooi Lye ketika dihubungi memaklumkan MBPP akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu dalam tempoh terdekat.

+ - reset