TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemuda UMNO tolak cadanga pilihan raya Datuk Bandar KL

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Feb – Pemuda UMNO menegaskan pendirian keras menolak cadangan mengadakan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, malah berikrar akan menggagalkan usaha tersebut jika diteruskan kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata cadangan itu dilihat sebagai kesinambungan agenda terdahulu termasuk Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) serta cadangan mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sebelum ini menerima bantahan hebat.

Menurutnya, rentetan cadangan tersebut menunjukkan wujud pendirian konsisten pihak tertentu yang terus mendesak pelaksanaan perubahan struktur pentadbiran bandar tanpa mengambil kira sentimen rakyat.

“Sebelum ini PSB, selepas itu pilihan raya PBT dan kini pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur pula. Mereka tidak berganjak langsung dengan pendirian mereka. Kita pula tidak boleh lalai,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, pada Isnin.

Muhamad Akmal menegaskan, sebagaimana Pemuda UMNO berjaya menolak cadangan PSB dan pilihan raya PBT sebelum ini, pendirian sama akan diambil bagi menggagalkan cadangan terbaharu tersebut.

“Kita sudah buktikan sebelum ini. Maka kali ini juga, kita mesti bersatu menolak dan menggagalkan rancangan mereka,” tegasnya.

Terdahulu, portal Malaysiakini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berpandangan pilihan raya Datuk Bandar lebih praktikal berbanding melantik ramai ahli majlis menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.

Menurut Hannah, struktur pentadbiran Kuala Lumpur ketika ini dilihat terlalu kompleks dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk Datuk Bandar, ahli Parlimen dan penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut mengingatkan ahli parti agar tidak terus terperangkap dalam perbalahan dalaman yang boleh melemahkan kekuatan UMNO.

“Kita sibuk bergaduh sesama sendiri kerana kuasa, sedangkan mereka pula bersatu demi kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya.

+ - reset