TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Mok Su bedak sejuk’ meninggal dunia akibat langgar lari

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 1 Feb – Seorang wanita warga emas yang dikenali ramai sebagai Mok Su Bedak Sejuk meninggal dunia dipercayai akibat terlibat dalam kejadian langgar lari awal pagi tadi di Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Kota Bharu.

Berita sedih itu dikongsikan oleh anak saudara arwah, Engku Seri Kelantan, menerusi hantaran di Facebook.

“Bonda saudara ambo sudah tiada akibat kes langgar lari awal pagi tadi. Terima kasih kepada Kenny Razali yang memaklumkan kepada ambo. Arwah masih berada di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II sebelum menghembuskan nafas terakhir,” jelasnya.

Allahyarham terkenal di Kota Bharu kerana imej uniknya memakai bedak sejuk penuh muka dan sikap mesra yang sering dirakam oleh orang ramai. Keperibadiannya yang mudah mesra dengan penduduk tempatan menjadikan beliau ikon tempatan yang dikenali ramai.

Menerusi beberapa video rakaman orang awam, kejadian dikatakan berlaku ketika Mok Su berada di kawasan tumpuan orang ramai dan premis perniagaan di bandar ini. Identiti pemandu yang terlibat masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Allahyarham sering menjadi perhatian ramai kerana kerap berada di ruang awam, berbual mesra dengan orang ramai, sehingga wajah dan telatahnya menjadi sebahagian daripada budaya popular Kota Bharu.

Penduduk tempatan menyuarakan rasa sedih atas pemergian wanita yang sentiasa membawa keceriaan itu. Banyak pihak mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.

+ - reset