Berita Berita
Kes buli murid di Kulim terbongkar, dua remaja dikenal pasti polis Kedah
ALOR SETAR 2 Feb – Polis Kedah mengesan dua remaja berusia 12 tahun yang disyaki terlibat dalam kes buli membabitkan seorang murid sekolah di Kulim, yang dipercayai berlaku sejak tahun lalu sebelum tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata kedua-dua remaja berkenaan bersama ibu bapa masing-masing telah dikenal pasti dan dipanggil bagi membantu siasatan.
“Tindakan telah diambil dengan mengenal pasti serta memanggil kedua-dua suspek. Siasatan sedang dijalankan dan kita akan pastikan kejadian buli seperti ini tidak berulang,” katanya.
Menurut Adzli, mangsa berusia 11 tahun ketika kejadian, manakala pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan fizikal kerana kejadian tersebut telah berlaku beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak polis tetap memandang serius kes berkenaan dan menyokong langkah pemulihan serta kaunseling, selain menggerakkan kempen kesedaran bagi mengekang kejadian buli dalam kalangan murid sekolah.
“Polis telah turun ke sekolah dan memberikan taklimat keselamatan serta pendedahan kepada murid-murid ketika perhimpunan. Langkah ini diharap dapat mencegah kejadian sama daripada berulang,” katanya.
Dalam masa sama, Adzli berkata polis akan terus memantau perkembangan kes tersebut dengan kerjasama pihak sekolah bagi membanteras budaya buli dalam kalangan pelajar.
Setakat ini, katanya, tiada laporan polis rasmi diterima berkaitan kejadian berkenaan.
Sebelum ini, tular di media sosial TikTok Oh Malaysia Media sebuah video berdurasi 54 saat memaparkan Adzli mengiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam program turun padang di Labu Besar, Kulim.
Dalam kunjungan tersebut, Saifuddin dilihat menyantuni seorang remaja lelaki berusia 12 tahun yang pada awalnya berdiam diri sebelum meluahkan rasa takut untuk ke sekolah kerana bimbang menjadi mangsa buli.
Ibu bapa mangsa memaklumkan anak mereka enggan ke sekolah sejak beberapa bulan lalu akibat trauma dan kebimbangan insiden sama berulang.
Berita berkaitan
February 2, 2026, 2:29 pm
Pilihan raya Datuk Bandar KL kembali ‘panas’, kerajaan mula kaji sejak Disember
February 2, 2026, 2:06 pm
Pemuda UMNO tolak cadanga pilihan raya Datuk Bandar KL
February 2, 2026, 1:50 pm
Dua anggota MBPP cedera terkena letupan belon yang disita ketika operasi Thaipusam
February 2, 2026, 11:53 am
`Saya langsung tiada kaitan' - Anwar nafi sebarang kaitan dengan pertukaran emel kes Epstein
February 2, 2026, 11:29 am
'Report menteri terus' - Murid berani mengadu dibuli di sekolah pada Saifuddin, Ketua Polis Kedah
February 2, 2026, 10:27 am
Tiga balai bomba padam gudang kitar semula terbakar di Kuala Langat
February 1, 2026, 4:08 pm
‘Mok Su bedak sejuk’ meninggal dunia akibat langgar lari
February 1, 2026, 4:02 pm
