TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM hanya rampas hasil rasuah untuk kembalikan kepada rakyat, bukan teliti soal ke mana wang dibelanjakan - Azam Baki

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 4 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tanggungjawabnya berakhir selepas hasil rasuah dirampas dan dilucut hak kepada kerajaan, manakala soal pengurusan serta perbelanjaan wang berkenaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, peranan agensi itu terhad kepada usaha merampas dan menyita hasil rasuah sebelum diserahkan kepada kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF).

"Ringkasnya, tugas kami adalah merampas dan melucut hak wang itu kepada kerajaan di bawah MOF.

"Bukan tanggungjawab kami untuk memastikan ke mana wang itu dibelanjakan. Itu adalah tugas MOF," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim yang menyatakan pemulihan RM8.5 bilion hasil haram oleh SPRM hanya bermakna sekiranya wang itu digunakan secara telus, memberi manfaat nyata kepada rakyat serta disusuli hukuman tegas terhadap pihak bertanggungjawab.

Menurut laporan, Jais turut menyifatkan dana tersebut sebagai 'wang awam yang pernah dicuri' dan menegaskan ia tidak seharusnya sekadar diserap ke dalam perbelanjaan rutin kerajaan.

Mengulas lanjut, Azam berkata kerajaan dan MOF mempunyai mekanisme tersendiri bagi menentukan pengurusan serta penggunaan dana berkenaan.

"Bagi saya, MOF atau kerajaan tahu bagaimana untuk menguruskannya," katanya.

Azam turut menegaskan bahawa keutamaan SPRM adalah memastikan wang yang dicuri daripada rakyat dapat dikembalikan semula kepada rakyat melalui proses perundangan yang sah.

"Yang penting bagi kami adalah mengembalikan wang yang dicuri daripada rakyat kembali kepada rakyat," katanya.

Beliau menjelaskan, sebarang keputusan berkaitan perbelanjaan wang hasil rampasan adalah sepenuhnya hak dan tanggungjawab kerajaan.

"Bagaimana wang itu dibelanjakan oleh kerajaan adalah keputusan kerajaan," katanya.

+ - reset